Demi Watak Seram, Marsha Ambil Kelas Yoga

Azwa Rahman
Februari 13, 2020 10:07 MYT
Penyanyi dan pelakon Marsha Milan mendedahkan dia kini sedang mendalami kelas yoga bagi membawa watak seram.
Menurut Marsha, dia akan melakonkan sebuah filem yang bakal menjalani penggambaran tidak lama lagi.
“Saya akan membawa watak seram dalam sebuah filem. Saya seorang yang penakut dan untuk untuk saya rujuk lakonan mana-mana filem dengan genre sebegitu, tidaklah.
"Cuma apa yang saya buat untuk merealisasikan watak ini, saya masuk kelas yoga untuk mempertingkatkan lagi pergerakan.
“Yoga kan membuatkan kita menjadi fleksibel, jadi saya tingkatkan lagi kemahiran yoga untuk persiapan watak terbabit,” ulas Marsha kepada Gempak.
Marsha ditemui selepas majlis sidang media Malaysia Top MUA yang diadakan di TGV One Utama, Petaling Jaya pada Rabu.
Tambah Marsha lagi, dia berasa gementar untuk melakonkan watak seram selepas tujuh tahun tidak berlakon filem.
“Saya juga akan digandingkan bersama pelakon hebat seperti Nabila Huda, Rashidi Ishak, Eman Manan dan saya agak berdebar,” kata Marsha lagi.
Dalam perkembangan terkini, Marsha bertindak sebagai pengacara diari Malaysia Top MUA yang boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Malaysia Top MUA setiap minggu.
#pelakon #Selebriti #Pelakon #Seram