Pelakon dan penyanyi Alvin Chong tidak teragak-agak menerima tawaran daripada The Giving Bank menerusi program Live To Give demi membantu golongan memerlukan.

Alvin berkata, dia berbesar hati dapat menyertai Live To Give, iaitu sebuah kempen amal pemberian dana untuk membantu selain memberi kempen kesedaran.

"Saya tengok banyak berita yang kuranb baik di media sosial seperti mempunyai penyakit yang tidak pernah kita dengar, ada juga yang mengalami kemurungan.

“Lebih dasyat sehingga meragut nyawa sendiri lebih-lebih lagi ketika pandemik ini. Saya berasakan mereka ini memerlukan bantuan dan benar-benar dalam kesulitan.

“Kalau boleh tidak mahu kes seumpama ini melarat. Oleh itu, saya benar-benar ingin menghubungi orang yang memerlukan pertolongan ini.

“Terutama di kawasan luar bandar yang mungkin tidak tahu cara untuk mendapatkan bantuan. Oleh itu, saya berfikir untuk menyiarkan sesuatu di Internet untuk menarik perhatian mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Alvin berharap agar melalui kempen mini ini, orang ramai akan lebih mengetahui tentang apa yang sedang berlaku di seluruh dunia dan menunjukkan sokongan mereka kepada orang yang memerlukan.

“Sentiasalah bersikap baik dan murah hati dengan orang lain. Kalau anda mampu menolong orang di sekeliling, bantulah.

“Tidak semestinya kewangan tetapi anda sentiasa boleh membantu dengan cara berkongsi dan memberi kesedaran kepada mereka.

“Moral support, bantuan dari segi makanan atau keperluan asas dan banyak lagi cara,” katanya.