Hiburan

"Di Hong Kong semua Berjalan Seperti Biasa, Cuma Perlu Patuh" - Nazmi Nordin Sambut Aidilfitri di perantauan

gempak
Badrul Hashim
24/05/2020
04:45 MYT
Sponsor Banner
"Di Hong Kong semua Berjalan Seperti Biasa, Cuma Perlu Patuh" - Nazmi Nordin Sambut Aidilfitri di perantauan
Pelakon dan model, Mohd Nazmi Che Nordin yang sedang menyambung pelajarannya di Hong Kong memberitahu Gempak bahawa ini merupakan kali pertama dia berjauhan daripada keluarga di hari raya.
Nazmi yang sedang membuat PhD dalam bidang Imaging and Interventional Radiology di The Chinese University of Hong Kong berkata hari raya tahun ini disambut ala kadar sahaja.
"Pagi raya saya bersolat raya di Masjid Ammar, Hong Kong kerana di sini tidak ada jumlah orang yang dihadkan untuk bersolat.
"Cuma masa dihadkan selama 30 minit dan semua jemaah wajib diambil suhu badan serta mesti memakai penutup hidung dan mulut," kata Nazmi ketika dihubungi Gempak.
Tambah Nazmi, perasan sedih tidak dapat bersama keluarga itu pasti ada tetapi, demi keselamatan semua, dia menerima ketentuan seadanya.
"Siapa yang tidak mahu beraya dengan keluarga, kan? Tapi saya anggap ini sebagai ujian dan tanggungjawab semua untuk menjaga keselamatan diri serta keluarga kita.
"Lagipun, ianya mungkin satu hikmah buat saya yang sedang menyiapkan tesis," kata Nazmi yang bakal menamatkan pengajiannya pada Julai ini.
Ditanya Gempak tentang pengalaman berhari raya kali pertama di Hong Kong, Nazmi berkongsi hari pertama Syawal di sana.
"Selepas solat raya, saya bertemu dengan teman-teman yang beragama Islam. Kemudian saya beraya di rumah pegawai-pegawai kedutaan Malaysia di sini, tetapi mengikut masa supaya tidak melanggar peraturan yang ditetapkan.
"Di Hong Kong kami boleh ke mana sahaja dan melakukan aktiviti harian seperti biasa tetapi dengan syarat tidak melebihi empat orang, mesti memakai penutup hidung dan mulut ke mana sahaja, dan menggunakan hand sanitizer.
"Jika ada yang melanggar syarat dan peraturan, mereka boleh didenda sebanyak HKD10,000 bersamaan dengan RM5,000," kata Nazmi.
Tambah Nazmi lagi, berjauhan ini membuatkan dia sangat rindu pada rendang dan ketupat daun palas yang dimasak sendiri oleh mamanya.
"Dulu ada juga Mama kirimkan mempelam Harum Manis, tetapi kali ini saya tak minta apa-apa kerana tidak mahu menyusahkan keluarga dan juga tidak mahu rasa sedih menikmati juadah tanpa mereka bersama.
"Untuk makan sendiri, saya ada beli kuah kacang segera dan juga nasi impit. Cukuplah untuk makan seorang diri di hostel berseorangan," tambah Nazmi lagi.
Nazmi juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan salam Aidilfitri kepada mereka yang mengenali dirinya.
"Saya nak ucapkan Selamat Hari Raya, kepada keluarga di Perlis, saudara mara, sahabat handai dan sesiapa sahaja yang mengenali diri saya.
"Insya-Allah balik nanti, bila keadaan semakin pulih kita akan berjumpa. Maaf zahir batin daripada saya di Hong Kong," ucap Nazmi.
Nazmi yang merupakan seorang pelakon dan model tetapi berhenti seketika daripada bidang lakonan untuk menyambung pelajarannya. Namun, dia masih lagi menerima tawaran sebagai model hingga ke Beijing, China.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live