"Dia Ada Visi Masa Depan... Ibu Percaya Dia Boleh Jaga Saya" - Elfira Loy

Kamaruddin Razal
Oktober 21, 2018 21:55 MYT
Pelakon dan pengacara Elfira Loy mengakui dirinya terpikat dengan personaliti dan keperibadian tunangnya, Muhammad Faris Khairol Anuar.
Biarpun perkenalan berlangsung dengan singkat, perkara terbabit tidak menjadi penghalang untuk mereka membawa hubungan yang terjalin ke peringkat seterusnya.
"Perkenalan kami sangat singkat. Setiap hari saya berdoa kepada Allah, jika benar dia orangnya, rapat-rapatkan. Jika tidak, maka sebaliknya.
"Saya sangat bersyukur kerana semuanya dipermudahkan Allah. Personaliti yang ada padanya memikat hati saya," kata Elfira.
Elfira ditemui di Majlis Pengumuman Pemenang Kempen #ThroughTheLens Make Stories Happens AirAsia di Kota Damansara baru-baru ini.
Tambah bintang drama bersiri Dalam Hati Ada Taman ini, Faris memahami kerjayanya sebagai seorang selebriti.
"Dia baik, menghormati keluarganya dan keluarga saya serta sangat memahami kerjaya saya sebagai seorang selebriti.
"Saya melihat dia mempunyai visi untuk masa depan... Apa yang penting, dia pilihan hati saya sendiri dan ibu saya juga percaya dia boleh menjaga saya," katanya.
Elfira telah melangsungkan pertunangan dengan Faris dalam sebuah majlis tertutup pada 2 September lepas.
Sebelum ini, gadis ini pernah menjalinkan ikatan pertunangan dengan penyanyi Sufian Suhaimi pada 6 Oktober tahun lalu.
Namun begitu, hubungan Elfira dan Sufian secara rasminya terputus pada 18 Februari lalu.
#pelakon #Elfira Loy #Pelakon #Tunang