Selepas baru sehari dikejutkan dengan seorang wanita maut terjatuh dari pusat beli belah KLCC, semalam satu lagi kejadian lebih kurang sama berlaku di Alor Setar, Kedah.

Kali ini melibatkan seorang warga emas yang maut terjatuh dari tingkat empat sebuah pusat beli-belah di negeri itu pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 10.30 pagi semalam apabila lelaki berusia 65 tahun itu dipercayai memanjat lalu melompat pagar kaca dalam premis berkenaan.

Semasa kejadian, seorang pengawal keselamatan yang sedang membuat rondaan di tingkat tiga ternampak lelaki ini yang dalam keadaan mencurigakan dan cuba terjun.

“Dia cuba menghalang tetapi tidak sempat,” katanya kepada Utusan Online.

Ahmad Shukri berkata, hasil siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mempunyai masalah kemurungan dan sedang mendapatkan rawatan psikiatri.

“Dia dipercayai menghadiri rawatan susulan sakit itu pada 1 Ogos lepas. Mangsa yang tinggal tidak jauh dari pusat beli-belah ini dikatakan selalu datang ke sini sendirian,” katanya.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Sementara itu, pengurusan pusat beli belah berkenaan dalam satu kenyataan meminta supaya pengunjung dan orang ramai supaya mengelak daripada berkongsi imej dan video berkaitan kejadian.

“Kami berterima kasih kerana berkongsi kebimbangan dan kami mengucapkan takziah kepada mangsa,” katanya.

Terdahulu, beberapa perkongsian daripada pengunjung yang kebetulan berada di lokasi, dalam media sosial menggemparkan penduduk negeri ini ekoran kejadian sama berlaku di sebuah pusat beli-belah di ibu negara baru-baru ini.

Sumber: Utusan Online