Laman Utama
"Dia Dah Pulangkan Anak-Anak Saya Selepas ..." - Bekas Isteri Badrul Muhayat Trauma, 2 Malam Tak Tidur Risaukan Keadaan Anak-Anak
Bekas isteri kepada pelakon Badrul Muhayat, Julia Daud meluahkan rasa syukur apabila kedua-dua anaknya, Nur Delisha, 14 dan Badrul Hidayat, 11, telah dipulangkan kepadanya lewat malam tadi.
Kata Julia, dia telah dihubungi oleh pihak berkuasa setelah kedua-dua permata hatinya itu dipulangkan oleh Badrul di Balai Polis Muallim, Slim River, Perak.
"Syukur Alhamdulillah kedua-dua anak saya kini berada dengan saya. Malam tadi dia (Badrul) telah menghantar anak saya di balai polis Muallim selepas saya memberikan nombor telefon bekas suami saya kepada pegawai penyiasat.
"Keterangan sudah diambil daripadanya tapi saya tak tahu apa.
"Untuk langkah seterusnya saya sudah memaklumkan kepada peguam saya mengenai kehilangan anak-anak tempoh hari dan saya diminta membuka fail untuk hak penjagaan anak sementara dan kekal, namun proses itu akan bermula pada tahun depan.
"Saya rasa memang patut saya buat tuntutan hak penjagaan anak dengan segera agar perkara begini tak berulang lagi," katanya kepada Gempak.
Kecoh baru-baru ini apabila seorang pengguna Facebook bernama Julia Ma'wa berkongsi bukti dan laporan polis apabila kediamannya dipecah masuk dan kedua-dua anaknya dilarikan disyaki bekas suaminya sendiri.
"Jantung rasa nak pecah"
Dalam pada itu, Julia akui trauma dengan kejadian yang menimpanya baru-baru ini apabila kediamannya di Kuala Lubu Baharu turut diumpil dan kedua-dua anaknya dilarikan dari rumahnya di Slim River.
"Saya betul-betul fobia bila anak yang selama ini saya jaga dilarikan... Sangat-sangat trauma! Bagai satu tamparan yang kuat bagi saya. Jantung rasa nak pecah dan dah dua hari saya tak tidur.
"Saya difahamkan dia tidak mengaku melakukannya (umpil pintu rumah), dia kata dia difitnah. Tapi apa dalam laporan saya sebelum ini, itulah yang terjadi. Saya tak tokok tambah cerita.
"Semua bukti bergambar saya ada dan jiran-jiran pun ada memaklumkan apabila mereka mendengar bunyi gerudi pada waktu malam. Mereka pada mulanya tak syak orang lain, ingatkan saya yang balik rumah," tambah Julia.
Julia diberitahu kedua-dua anaknya itu berada di bawah jagaan adik bekas suaminya di Cheras sepanjang dua hari itu.
"Kali terakhir mereka berjumpa ketika sebelum cuti sekolah sebelum ini, tiga minggu dia (Badrul) ambil anak-anak. Alasan sama juga dipakai, katanya mak dia nak jumpa anak-anak sebab sekarang tengah tak sihat.
"Saya tak pernah halang pun, dia datang ikut suka dia tak ada siapa pun tegah. Kami siap jemput dai masuk rumah bagi makan dan minum lagi.
"Tapi tiba-tiba dia buat perangai selepas saya buat tuntutan nafkah baru-baru ini," katanya yang menetap di Perak selepas bercerai pada 2010 kerana masalah kesihatan.
"Dah tua tak elok gaduh-gaduh"
Susulan kejadian itu, Julia akui lebih berwaspada dan meminta bantuan pihak berkuasa untuk melindungi dirinya dan keluarga bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
"Saya tak halang dia nak tengok anak-anak lepas ni tapi nak bagi masuk rumah mungkin tak. Saya kena hormat perasaan suami saya, dia berkecil hati sebab Badrul tuduh dia yang menghasut saya. Sedangkan tidak.
"Suami yang banyak bagi anak-anak saya makan di rumah dan tak pernah minta apa-apa bayaran pun. Badrul sepatutnya berterima kasih dan bersyukur bukan menuduh suami bukan-bukan.
"Sebelum kahwin pada 2017 saya sudah failkan tuntutan nafkah anak ni biro guaman Ipoh tapi disebabkan masalah kesihatan saya tak dapat teruskan. Bila dah kahwin saya pindah Selangor dan tak boleh teruskan kes di Perak sebab alamat berbeza.
"Nak teruskan di Selangor pula tiba-tiba PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), jadi semuanya tertangguh.
"Saya memang nak buat cover report dan tak mahu dia datang terjah macam hari itu. Saya juga akan dapatkan hak penjagaan sementara sebelum dapat perintah mahkamah yang kekal.
"Saya harap dia bagi kerjasama, jangan lengahkan proses mahkamah. Sebab selama ini saya beri dia peluang hingga akhirnya jadi macam ni. Dia perlu profesional sebab masing-masing dah tua. Tak elok nak gaduh-gaduh rebut anak," kongsi Julia lagi.