Berita
"Dia Enggan Benarkan Saya Masuk Dalam Industri Sebab..." - Sweet Qismina Buka Cerita Pasal Arwah Ayah
Pelakon Sweet Qismina mendedahkan bahawa arwah bapanya, Supandi Mohammad pernah menghalangnya untuk menceburi dunia hiburan.
Sweet atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi, 23, berkata ketika itu, bapanya bimbang dengan persepsi orang ramai terhadap industri hiburan yang sering dipandang negatif.
"Saya tak pernah jumpa lelaki selembut dan sebaik baba. Kalau anda nak tahu, dia pernah enggan membenarkan saya masuk dalam industri kerana takut dengan persepsi orang mengenai industri hiburan yang dilihat sebagai 'bad & dirty' (teruk), jadi dia tak nak saya kena.
"Bagaimanapun, dia tidak terus menghukum dan marah (dengan apa yang saya minat). Bahkan, dia cuba untuk memahami diri dan minat saya," katanya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram.
Bahkan, menurut Sweet, bapanya itu kemudian yang banyak membantunya untuk menceburi dunia lakonan.
"Dalam dia ya, satu hari dia jumpa abang Aziz M. Osman kat R&R (kawasan rehat dan rawat) dan dari situlah munculnya pembabitan saya dalam Hikayat Putera Shazlan.
"Tahu tak? Wajah bangga pada wajahnya sambil cakap 'anak aku pun berlakon' benar-benar menyentuh hati saya. Selepas itu, apa sahaja yang saya buat, dia akan selalu berikan tanda sokongan sampailah hari terakhir. Terima kasih baba," luahnya.
Pada posting tersebut, Sweet turut berkongsi gambar kenangan dirinya sekeluarga sempena tanda ingatan ulang tahun kelahiran bapanya yang dirai pada 7 Mac.
Sweet menceburi dunia lakonan sejak 2007 dan mula dikenali dengan lakonannya dalam drama Hikayat Putera Shazlan pada 2008.
Saksikan lakonan Sweet yang pernah ditayangkan di Astro pada telefon pintar anda melalui aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang!
Must-Watch Video