Penyanyi Alina Hassan, 52, bersyukur kerana penyanyi Siti Sarah menaja pembedahan mata kanannya akibat katarak.

Alina yang merupakan bekas protege Sarah dalam program Mentor Otai 2018 sebak dan gagal menahan air mata apabila bertemu dengan pelantun lagu Semakin itu.

"Saya bersyukur atas rezeki yang diberikan. Sebelum ini, saya turut berusaha mengumpul wang sedikit demi sedikit demi memulihkan masalah mata kanan yang sudah hampir 10 tahun saya alami.

"Saya rasa speechless, bila pihak pengurusan Sarah, Indigital melayangkan mesej kepada saya dan mengatakan Sarah mahu menaja saya. Betul ke ni?

"Tapi saya tak terkejut kerana selama mengenali Sarah, dia seorang wanita yang gemar membantu orang, sebab itu rezekinya murah dan tidak pernah putus-putus, katanya.

Alina ditemui di Prof Muhaya Eye & LASIK Centre, Kajang semalam.

Penyanyi yang turut pernah menyertai program Kilauan Emas ini telah mengalami masalah mata pada kedua-dua bahagian dan sudah pun melakukan rawatan pembuangan katarak pada mata sebelah kiri tiga tahun lalu.

Dalam pada itu, Sarah yang turut hadir menemani Alina pada sesi awal rawatan itu turut berharap agar proses pembedahan dipermudahkan.

"Saya hanya berharap dan mendoakan agar segala urusannya dipermudahkan. Insya-Allah, jika penglihatannya lebih baik, banyak perkara lain yang dia boleh lakukan selepas ini. Saya doakan moga dia berjaya dunia akhirat.

"Saya sebak sebab bila melakukan sesi ini dan bertemu dengan Prof Muhaya, kita semua yang berada di sini mungkin akan lebih sedar, betapa pentingnya sepasang mata.

"Dengan matalah kita nak membaca ayat suci al-Quran serta melakukan segala kebaikan yang lain.

"Saya doakan prosedur pembedahannya minggu depan dipermudahkan dan moga kesihatannya juga bertambah baik, Insya-Allah," katanya.

Proses rawatan untuk membuang katarak pada mata Alina dijadualkan akan berlangsung pada minggu depan.

Terdahulu, kisah Alina yang juga Juara program Sinaran Pasport Kegemilangan 1996 dan pemenang tempat ketiga Mentor Otai 2018 tular apabila menghuni bilik kecil di sebuah rumah kedai di Setapak, Kuala Lumpur sejak dua tahun lalu.

Dia yang sudah lama memohon untuk menyewa rumah PPR akhirnya menerima berita gembira apabila permohonannya diterima Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan dibenarkan menduduki rumah itu pada 15 Ogos lalu.

Rumah PPR DBKL Desa Rejang di Setapak, Kuala Lumpur disewa pada kadar sewa RM124 sebulan.