Penyanyi popular era 80-an, Ibnor Riza Ibrahim kini ditidurkan selepas dilaporkan pengsan pagi Ahad dan kini sedang dirawat di Hospital Port Dickson.

Isterinya Sarimah Sulaiman yang dihubungi Astro AWANI mengesahkan berita itu dan memohon doa daripada semua agar kesihatan suaminya pulih seperti sedia kala.

“Saya baru sampai rumah…belum sempat melawat kerana dia baru sahaja ditidurkan.

“Suami saya pitam ketika di rumah. Kemudian saya menghubungi ambulans dan dia dikejarkan ke hospital selepas itu.

“Bila tiba di hospital, dia pengsan tiga kali bermula jam 10.30 pagi kemudian selang 10 minit kemudian, dia pengsan semula,” katanya.

Tambah Sarimah, Ibnor, 62, baru sahaja dibenarkan keluar dari Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban dua hari lalu selepas menerima rawatan di sana.

Dalam hantaran berbeza, anaknya Putri Norizah berkongsi berita mengenai situasi bapanya.

"Mohon jasa baik semua untuk mendoakan kesembuhan ayah saya, Ibnor Riza Ibrahim yang kini baru saja ditidurkan.

"Ya Allah, hilangkanlah kesusahan dan berilah dia kesembuhan, Engkau zat yang maha menyembuhkan.

"Tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan dari-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit lain," tulisnya.

Terdahulu, sahabat Ibnor yang juga

penyanyi Haiza memaklumkan penyanyi Mimpi Yang Tak Sudah itu sebelum ini tidak boleh bercakap.

“Mula-mula dia tak boleh bercakap. Kemudian di leher macam ada bengkak,” jawabnya ringkas menerusi WhatsApp.

Pertengahan Januari lalu, Ibnor Riza dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat sesak nafas dan hampir pitam.

Selain sesak nafas, penyanyi itu juga mengalami tekanan darah rendah, tiada selera makan dan beberapa gejala lain.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.

Sumber: Astro Awani