Diam-Diam Rupanya Isteri Dah Sarat Mengandung! Luqman Hafidz Bakal Sambut Bayi Sulung Bulan Depan

ZULHILMI JALIL
Januari 11, 2021 00:25 MYT
Selepas lapan bulan menyembunyikan status kehamilan isteri, pelakon Luqman Hafidz akhirnya berkongsi berita gembira bakal bergelar bapa tidak lama lagi.
Perkara itu dikongsikan Luqman atau nama sebenarnya, Muhd. Luqman Hafidz Mohd. Fauzi, 30, menerusi satu hantaran di Instagram.
"Kawan baby @unikrafanda is coming. Doakan baby keluar dengan selamat Februari ini Insya-Allah.
"Harapnya kita semua masih dapat peluang bercuti dengan keluarga lepas pengumuman esok (hari ini). Amin," katanya.
Luqman turut mengesahkan berita kehamilan isterinya, Nurul Atiqah Mad Apandi ketika dihubungi Gempak menerusi kiriman WhatsApp.
"Kita selalu memang diam-diam sahaja," responsnya ringkas mengenai hal tersebut.
Pada masa sama, pelakon filem Ola Bola itu turut memuat naik beberapa keping foto memaparkan isterinya yang kini sarat mengandung.
Di ruangan komen, rata-rata mengucapkan tahniah kepada pasangan tersebut yang bakal menimang cahaya mata sulung mereka tidak lama lagi.
"Tahniah! Semoga semua dipermudahkan," komen pengacara Hani Fadzil
"Steady man, diam-diam berisi," tulis salah seorang pengikutnya.
Luqman melangsungkan majlis pernikahan dengan Nurul Atiqah pada 20 Mac tahun lalu ketika negara menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang hanya dihadiri 10 orang.
BACA: Berkawan 4 Tahun, Luqman Hafidz Akhiri Zaman Bujang Dengan Wanita Pilihan
#pelakon #Luqman Hafidz #Mengandung #Isteri #Bayi Sulung