Laman Utama
Diami Banglo Mewah RM10 Juta? Che Ta Ajak Mak, Ibu Mentua Tinggal Bersama - "Lucu Bila Mereka Sembang, Macam Ayam & Itik..."
Pepatah Inggeris ada menyebut, kehidupan sebenar bermula di usia 40 tahun. Namun bagi anak seni dan usahawan popular, Rozita Che Wan atau Che Ta, kehidupannya cukup bermakna di usia 50 tahun yang disambut 9 Mac lalu.
Lebih manis, genap usia berkenaan juga disambut dengan kehadiran rumah baharu bernilai hampir 10 juta terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya.
Dugaan kontraktor, COVID-19!
Penantian empat tahun menghuni rumah jenis banglo mewah itu selepas menghadapi beberapa masalah termasuk kontraktor pembinaan menghilangkan diri selepas Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta melabur jutaan ringgit akhirnya ternoktah.
“Tak dapat saya gambarkan perasaan menyambut ulang tahun kali ini. Tambah pula dapat masuk rumah baharu. Bukan sekecil anak jumlah saya laburkan untuk rumah ini.
“Kena tipu dengan beberapa kontraktor pembinaan lagi. Kemudian kita diuji dengan pandemik COVID-19, jadi proses pengubahsuaian rumah itu pun tertangguh.
“Tapi kini, saya bersyukur semuanya berakhir. Nak pula, Ramadan dan Syawal bakal disambut umat Islam tak lama lagi. Dapat masuk rumah baharu ini, kira hadiah paling terindah buat saya,” katanya.
Tinggal bersama-sama ibu, ibu mentua
Rumah banglo berkenaan tidak hanya didiami Che Ta bersama suami, Zain Saidin dan tiga anaknya, malah seperti dilaporkan sebelum ini, pelakon drama Kiah Pekasam itu turut dipuji ramai kerana memuliakan orang tua apabila mengajak ibu dan ibu mentuanya tinggal bersama.
“Zain sendiri terkejut dan tak sangka saya nekad mengajak ibunya tinggal bersama. Tak ketinggalan teman rapat saya pun ada yang berperasaan sama.
“Lagipun mak mentua saya tinggal seorang diri selepas cucunya yang juga anak Sasha Saidin berpindah ke luar negara. Jadi saya fikir tak salah ajaknya duduk sekali di rumah baharu.
“Keadaan kesihatannya kebelakangan ini pun tak bagus selepas menjalani pembedahan. Setidak-tidaknya ada yang melihat dan membantunya apabila tinggal sekali,” katanya.
Pengasas bersama empayar perniagaan Inai Che Ta itu berkata Zain pada awal bimbang ibunya menjadi beban.
“Saya tak pernah berfikir begitu terhadap sesiapapun yang berada di bawah tanggungan ini. Saya percaya kadang-kadang Allah beri rezeki kita melalui orang lain.
“Dia pun tak cerewet dan mudah diurus. Di usianya 76 tahun, dia makan apa saja yang dihidangkan. Orang tua makan banyak mana sangat pun. Malah dia enggan menyusahkan saya termasuk pembantu rumah.
“Selama ini, masa tinggal dengan cucunya (anak Sasha Saidin), dia memang sangat kuat dan kental. Dialah yang memandu kereta menghantar cucu ke sekolah, kelas taekwondo dan membeli barangan harian. Tapi sejak kesihatannya terganggu selepas terjatuh dan pinggulnya retak hingga terpaksa jalani pembedahan, dia seakan lemah,” katanya.
Che Ta juga mengakui ibunya terbuka dan menyambut baik usaha mengajak ibu mentua tinggal bersama.
“Cuma lucunya, apabila ibu dan ibu mentua bersembang masing-masing macam ayam dan itik. Seorang cakap Melayu, seorang lagi berbahasa Inggeris. Saya pun terhibur melihat gelagat mereka,” katanya.
Must-Watch Video