Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

Didakwa Anak Emas Syarikat Rakaman: "Ini Semua Fitnah" - Haqiem Rusli

Zulaikha Yusof
22/04/2019 04:10 MYT
Penyanyi Haqiem Rusli menidakkan dakwaan kononnya dia merupakan anak emas kepada syarikat pengurusannya, FMC Music.

Menurut Haqiem itu semua adalah fitnah semata-mata.

"Saya tidak tahu macam mana ingin cakap, takut dilabel seorang yang berlagak.

"Bagi saya itu rezeki masing-masing dalam industri muzik ini. Akan timbul perasaan hasad dengki oleh sebab itu kita kena ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara.

"Ramai lagi dalam syarikat pengurusan yang mempunyai nama besar antaranya Wany Hasrita dan Tajul.

"FMC ini saling tolong menolong, pengurus saya memberi layanan sama adil kepada semua orang.

"Justeru, semua orang anak emas di FMC. Ini semua fitnah, ada mulut jahat yang berkata," katanya kepada Gempak.

Haqiem ditemui di Anugerah MeleTOP Era 2019 (AME2019) yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.

Tambah pelantun lagu Selamat Tinggal Sayang menegaskan dia tidak mempunyai perancangan untuk keluar daripada syarikat pengurusan sekarang.

"Saya tidak ada perancangan untuk keluar memandangkan saya sudah menandatangani kontrak bersama mereka untuk satu tempoh yang lama.

"Saya berasa selesa dengan bos saya serta keluarga FMC sendiri.

"Lagipun mereka yang mengambil saya pada mulanya justeru saya tidak akan keluar," katanya lagi.

Pada malam AME2019, Haqiem berjaya merangkul sebuah trofi menerusi kategori Lagu MeleTOP.

AME2019 dihoskan oleh Neelofa, Nabil Ahmad dan Jihan Muse itu telah berlangsung dengan meriah.

AME2019 menobatkan Khai Bahar dan Siti Nordiana sebagai pemenang Top Top MeleTOP Lelaki & Wanita pada edisi penganjuran kali ini.

Bertemakan Glam, AME 2019 bersiaran secara langsung pada jam 9.00 malam dan disiarkan di saluran Astro Ria (104), Astro Prima (105), Astro Ria HD (123) dan Maya HD (134).
 
#Penyanyi #Penyanyi #Haqiem Rusli #AME2019