Pelakon Ozlynn Wati tampil memperbetulkan salah faham dalam kalangan netizen yang menyangka dia sudah melakukan aktiviti berbasikal ketika sedang berpantang anak keenam.

Jelas Ozlynn, video yang dikongsikan di Instagram Stories baru-baru ini merupakan video throwback setahun lalu ketika dia melakukan aktiviti riadah terbabit.

"Sangat prihatin rakyat Malaysia, di video basikal itu pun dah ada ayat 'baru semalam kayuh tahu-tahu dah setahun'.

"Bermaksud video itu dah setahun. Dalam tempoh sebulan dah mendaki bukit-bukit tinggi.

"Saya ni baru je pantang 18 hari tak sampai sebulan lagi. Nak kayuh apanya? Dengan kepala berpilis, perut berbarut 20 meter panjang, ada ketika masih berkain batik. Mana mahunya kayuh," tegasnya.

Tambah isteri kepada penyampai radio ERA itu, dia masih tahu menjaga dirinya dan berterima kasih kepada pihak yang mengambil berat berhubung perkara itu.

"Insya-Allah sekali pun anak dah masuk enam saya masih tahu menjaga diri.

"Apapun, terima kasih pada yang ambil berat dan pada yang tak tahu situasi belajar husnuzon ye," tambahnya.



Dalam video yang dikongsikan Ozlynn, kayuhan yang dilakukan di kawasan Genting Sempah itu disifatkan antara pencapaian terbaiknya yang ketika itu baru berjinak-jinak dengan sukan terbabit.

Untuk rekod, Ozlynn sebelum ini berkongsi khabar gembira menimang cahaya mata keenamnya pada 3 September lalu.