Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Hiburan

Didakwa Dilantik Kerana Pengaruh Politik, Ini Jawapan Pengerusi Baharu FINAS

Kamaruddin Razal 27/05/2020 | 06:18 MYT

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid tidak mengendahkan dakwaan dirinya dilantik menerajui organisasi terbabit kerana pengaruh politik.

Zakaria yang merupakan ahli perniagaan dan aktivis masyarakat berkata, dakwaan terbabit tidak menjadi penghalang untuk beliau menjalankan tugas sebagai pengerusi FINAS.

"Saya ada mendengar cakap-cakap tersebut. Tapi pada saya, perkara terbabit tak membuatkan saya terkebelakang untuk meneruskan matlamat kerja. Tak ada masalah.

"Sebab sebelum ini pun, FINAS pernah diterajui oleh individu yang berlatarbelakang politik.

"Sebenarnya, dalam mana-mana organisasi, apa yang penting, pemimpinnya mempunyai budaya kerja yang betul.

"Mereka haruslah yakin, mempunyai sifat-sifat mesra, mahu mendengar kritikan orang dan akhirnya boleh melaksanakan tugas-tugas yang sudah diamanahkan.

"Sama ada mempunyai latar belakang seni atau pun tidak, sebagai ketua, saya rasakan tidak perlu kerana kepakaran dalam industri itu akan dipenuhi oleh orang-orang disekelilingnya.

"Jadi, sebagai pemimpin yang tiada pengalaman dalam bidang seni, saya harus mendengar pandangan dari pakar industri.

"Budaya kerja adalah lebih penting dan selepas itu, saya akan garap perkara terbabit sesuai dengan keadaan industri," katanya.

Zakaria ditemui usai majlis sidang media bersama Pengerusi Baharu FINAS di Pawagam Mini P Ramlee, FINAS, Hulu Klang, sebentar tadi.

Perlantikan Zakaria yang berkuatkuasa pada 23 Mei lalu diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Senarai keanggotaan Ahli Perbadanan yang telah dilantik oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia selaras dengan peruntukan di bawah Akta 244 untuk tempoh dua tahun bermula 23 Mei 2020 sehingga 22 Mei 2022.

Zakaria menggantikan Datuk Hans Isaac yang berkhidmat sejak April 2019.

BACA: “Segala Penantian Sudah Berakhir…”- Hans Issac Bukan Lagi Pengerusi FINAS

Sebagai seorang ketua, Zakaria turut mengibaratkan dirinya sebagai pemandu untuk membawa kenderaan.

"Saya yakin menerajui FINAS kerana kementerian merasakan saya ada kualiti untuk menerajui pasukan biarpun tiada latar belakang seni.

"Ahli pasukan lain yang dilantik juga mempunyai kepakaran dalam industri ini dan mereka akan membantu saya membuat keputusan.

"Saya ibarat pemandu yang akan menerajui sebuah kenderaan. Saya harus memastikan kenderaan ini tidak tergelincir," katanya lagi.

Turut hadir dalam sidang media yang sama ialah Timbalan Pengerusi FINAS, Datuk Norman Abdul Halim dan Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal yang menjalankan tanggungjawab sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Hassan Asbor Hassan Mutaat.

Berikut merupakan senarai Ahli Perbadanan FINAS yang baharu:

Pengerusi

1. Zakaria Abdul Hamid

Timbalan Pengerusi

2. Datuk Norman Abdul Halim

Ahli Perbadanan

3. Datuk Prof Dr. Abdul Razak Mohaideen

4. Datuk Sri Eizlan Yusof

5. Datuk Norhyati Ismail (mewakili negeri Sarawak)

6. Mohammad Diah Hj Wahari (mewakili Kementerian Komunikasi dan Multimedia)

7. Siti Juriani Jalaluddin (mewakili Kementerian Kewangan)

8. Denes Kumar Ragupathy

9. Dr. Rose Patsy Tibok (mewakili negeri Sabah)

10. Ku Muhammad Haris Ku Sulong

11. Lina Tan Suan Jeu

#FINAS #Pengerusi Baru
;