Hiburan
Didakwa Gagal Mempromosikan Produk Secara Eksklusif, Fazura Disaman Pemilik Syarikat Maydan
Pemilik syarikat produk kecantikan dan kesihatan Maydan Trading, Narhamdan Abdul Malek memfailkan saman terhadap aktres Nur Fazura Sharifuddin, 36, dan Universal Music Sdn. Bhd. bagi menuntut wang RM156,000 jumlah bayaran yang sudah dibayar untuk menjadi duta produk, Q Tab untuk kesihatan rambut, kulit dan kuku.
Maydan Trading selaku plaintif kes itu memfailkan saman kepada Fazura selaku defendan pertama dan Universal Music selaku defendan kedua pada 16 Disember 2017.
Prosiding perbicaraan hari pertama kes ini telah dijalankan dihadapan Hakim Datuk Mohd. Firuz Jaffril di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Dalam prosiding itu, Maydan Trading diwakili peguam Dzaki Ezwan Baharin dan Surita Sunkey manakala Fazura dan Universal Music diwakili peguam Fakhrul Azman Abu Hassan, Wilson Lim dan Joel Prashant.
Menurut Narhamdan, 54, bayaran yang diberikan tidak setimpal dengan 75 peratus tugas yang dijanjikan oleh aktres itu dalam rangka promosi Q Tab semenjak Oktober 2017.
Fazura bersama peguam, Fakhrul Azman Abu Hassan.
Pada awal Ogos 2017, Narhamdan menandatangani Helaian Terma (Term Sheet) dan membuat bayaran awal sebanyak RM100,000 pada perjumpaan yang diadakan di The Curve, yang dihadiri oleh Fazura, Iman Tang, dua anak perempuannya, Marliya Narhamdan dan Mardina Narhamdan.
Perjanjian itu didakwa untuk Fazura memasarkan dan/atau mengendors produk untuk balasan bayaran sebanyak RM212,000 serta dibayar dalam tempoh enam bulan.
Selepas itu, sidang media telah diadakan pada akhir Ogos 2017 untuk mempromosikan rangkaian produk Maydan Trading, termasuklah Q Tab menerusi sokongan Fazura. RM56,000 turut dibayar untuk sesi penggembaran video dan fotografi.
Narhamdan bersama dua peguam, Surita Sunkey dan Dzaki Ezwan Baharin.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, antara perkhidmatan yang dibuat oleh Fazura adalah memasarkan produk secara besar melalui platform media sosial, lebih khususnya melalui saluran Instagram milik Fazura yang membabitkan 12 postings.
Selain itu, Fazura perlu membuat lima penampilan awam, penampilan tunggal pada sidang akhbar serta sesi pengambilan gambar dan video bagi kegunaan plaintif dalam pemasaran produk.
Dalam pada itu, plaintif mendakwa Fazura pada akhir September 2017 telah melancarkan dan memasarkan produk kecantikan dan kesihatan iaitu Trudolly TruBeauty.
Akibat daripada itu, pelanggaran berlaku dalam pemasaran kedua-dua produk itu menyebabkan plaintif mendakwa mengalami kerugian.
Dakwa plaintif, rundingan dengan wakil Fazura, Iman Tang secara lisan memberitahu perlantikan defendan pertama untuk memasarkan produk itu melalui Instagram adalah berstatus eksklusif dan mengecualikan produk lain yang belum diendors oleh Fazura.
Sementara itu, Fazura dalam pernyataan pembelaannya menafikan bahawa dirinya ada memasuki sebarang perjanjian dengan plaintif.
Fazura juga memberitahu mahkamah bahawa Iman Tang bukan ejen atau wakilnya, sebaliknya hanya pengurus dan sebarang keputusan berkaitan dengan kerjaya seni hanya ditentukan oleh dirinya sendiri.