Didakwa Tinggal Serumah Dengan Shila Amzah, Ini Respon Ubai!
Asyikin Mayudin
09/04/2023 00:55 MYT
09/04/2023 00:55 MYT
Kerap dilihat bersama di rumah penyanyi Shila Amzah ketika membuat ‘live’ di TikTok, pempengaruh Ubai menafikan dakwaan mereka bersekedudukan.
Sudah lali dengan pertanyaan mengenai perkara itu, Ubai bagaimanapun mengakui dia ada berbuka puasa dan moreh di rumah Shila bersama kawan-kawan yang lain.
“Sha duduk seorang diri, jadi kadang kala saya ajak kawan-kawan untuk berbuka atau moreh di rumahnya. Cuma nak cakap duduk serumah tu jauh sekali.
“Apatah lagi, mak saya pun kurang sihat, jadi fokus diberikan buat mak saya. Boleh dikatakan setiap kali ‘live’ TikTok pasti ada yang mengajukan sama ada kami tinggal serumah.
“Kami pun dah lali sering kali soalan yang sama saja. Namun kebanyakkannya adalah akaun palsu. Bila Sha ‘live’ seorang pasti orang tanya Ubai mana.
“Namun bila kami bersama (buat live), orang tanya duduk serumah ke? Sha sudah profesional kerana sudah lama berdepan isu sebegini, namun saya masih baru lagi,” kata Ubai.
Ubai ditemui ketika majlis pelancaran program Raya Astro di Le Meridien Petaling Jaya, baru-baru ini.
Terdahulu, Shila memuat naik video memperlihatkan kekasihnya iaitu Ubai menghadiahkan sebentuk cincin dan netizen mula membuat spekulasi mereka bakal berkahwin.
Bagaimanapun Ubai menjelaskan cincin yang dibeli kepada cinta hatinya itu merupakan tanda untuk membawa hubungan ke arah lebih serius.
Untuk rekod, Shila bercerai talak satu dengan Haris Idraki pada 8 Februari 2022 selepas empat tahun berkahwin dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Seth Uwais.