Seorang lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan cedera selepas ditumbuk tiga kali pada bahagian muka oleh seorang artis lelaki Sabtu lalu.

Menerusi laporan media tempatan, pengawal keselamatan berusia 68 tahun itu dicederakan ketika sedang bertugas mengawal kawasan perumahan di Taman Acacia Desa Jati, Nilai, Negeri Sembilan oleh seorang artis lelaki yang pernah menjadi anggota sebuah kumpulan lawak.

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 8 malam, artis lelaki berusia 49 tahun yang berasal dari Kedah itu memandu Proton Perdana berwarna hitam dan dilaporkan memasuki pagar pengawal keselamatan kawasan kediaman berkenaan tanpa kebenaran.

Menerusi laporan BH Online, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, susulan itu pengawal keselamatan kemudian bertindak menutup palang laluan keluar pos keselamatan dan mengejar kenderaan yang dipandu artis lelaki berkenaan.

“Selang beberapa minit selepas itu, kereta artis berkenaan melalui semula pos pengawal keselamatan untuk keluar dari kawasan perumahan berkenaan, namun terhenti akibat laluan keluar ditutup dengan palang.

“Berkemungkinan kerana berang kenderaannya dihalang, artis lelaki itu keluar dari kereta sebelum menuju ke arah pengawal keselamatan dan berlaku pertengkaran,” katanya.

Tambahnya, tidak lama selepas itu, artis itu menumbuk muka pengawal keselamatan terbabit sebanyak tiga kali hingga menyebabkan mangsa lebam di bahagian mata kanan serta sakit pada batang hidung.

“Artis berkenaan turut dilaporkan menendang pinggang pengawal keselamatan selain mengambil batu bata di tepi laluan keluar dan membaling ke arah pengawal keselamatan itu, namun dapat dielaknya.

“Selain itu, pengawal dalam laporannya pagi tadi, turut mendakwa artis berkenaan meminta dia berjaga-jaga kerana hanya bertugas sebagai pengawal keselamatan dan bukannya polis,” katanya.

Walaupun laporan media tempatan tidak mendedahkan dan menyebut nama artis lelaki yang terlibat, netizen mula membuat andaian sendiri.

Menerusi pemerhatian Gempak, warganet telah mula 'menyerang' akaun Instagram milik pelawak Lan Pet Pet.





Menerusi posting terakhir yang dimuat naik oleh Lan pada 5 Mac lalu, ramai pengguna media sosial 'membanjiri' ruangan komen entri terbabit dan mendakwa Lan terlibat dengan insiden terbabit.





Setakat jam 12 malam tadi, entri tersebut telah dibanjiri lebih 1,500 komen netizen.

Sebelum ini, Lan menganggotai kumpulan lawak Senario yang mula popular sekitar tahun 90-an.