Semalam, rakaman video yang memperlihatkan seorang lelaki membelasah warga emas sehingga terbaring di tengah jalan viral di media sosial.

Ramai mengkritik tindakan pemuda berkenaan dan mendakwa ia adalah satu tindakan yang kurang wajar, memandangkan perbezaan umur kedua individu yang terlibat.


Menerusi perkongsian awal oleh seorang pengguna Twitter, difahamkan punca sebenar terhadap perbalahan tersebut masih tidak dapat dikenal pasti.

Namun, beberapa pengguna media sosial mendakwa yang insiden pergaduhan tersebut tercetus apabila lelaki berusia itu menunjukkan jari tengah kepada individu yang seorang lagi.

“Dengar cerita pak cik tu tunjuk f*ck kat dia. Keras jugak pak cik tu punya biadap. Apa apa pun kita tak support keganasan. Yang tua dihormati yang muda dimaki-maki,” tulis seorang netizen.

Begitupun, menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak polis, kejadian berpunca selepas warga emas tersebut keluar daripada kereta apabila suspek menjerit memarahinya daripada luar kenderaan.

“Kejadian itu dipercayai berlaku 12 tengah hari tadi yang mana ia kemudian tular di media sosial. Mangsa iaitu pesara swasta berusia 61 membuat laporan mengenai kejadian itu pada jam 2 petang tadi (semalam).

“Difahamkan ketika kejadian, mangsa memandu bersama isteri serta cucu untuk ke Putrajaya dan ketika sedang membelok ke kanan menghala ke Alam Avenue (Seksyen 16), suspek yang menaiki motosikal Yamaha Y15 berada di sebelah kiri kereta menjerit dan memarahi mangsa.

"Mangsa berhenti untuk memeriksa sekiranya ada pelanggaran bagaimanapun selepas dia keluar dari kereta, suspek terus menendang mangsa di dada kiri.

"Lelaki itu juga mendakwa suspek duduk atas badannya dan menumbuk muka serta kepala mangsa bertubi-tubi yang menyebabkan mangsa mengalami bengkak bawah mata, kepala serta sakit bahagian rusuk," kata Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim.

Difahamkan, suspek yang berusia 23 tahun telah ditahan oleh pihak berkuasa.

Iqbal berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan dan permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan hari ini.