Laman Utama
Digelar 'Ratu Sponsorship', Penyanyi Erna Elliyana; "Masih Minat Dunia Seni, Cuma Saya Salurkan Tajaan ..."
Jika dahulu, naib juara Sinaran Pasport Kegemilangan 2000, Erna Elliyana sibuk di set penggambaran dan memenuhi undangan nyanyian, kini minatnya lebih tertumpu pada bidang keusahawanan.
Pelantun lagu Bukan Untuk Sesaat itu kini menzahirkan minat dalam bidang hiburan dengan menaja pelbagai program, termasuklah beberapa konsert besar yang bakal diadakan tidak lama lagi.
“Saya memang sayangkan dunia hiburan tetapi saya masih belum tergerak hati untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian dan lakonan. Mungkin kerana kesibukan dalam bisnes.
“Saya mengaku ramai peminat yang menghantarkan mesej dan meminta saya untuk melakukan kemunculan semula dalam bidang seni, tapi buat masa ini, biarlah saya fokus dalam perniagaan terlebih dahulu.
“Minat saya masih kukuh dalam hiburan ini saya salurkan menerusi tajaan pelbagai program dan festival. Terbaharu, menerusi perniagaan yang diusahakan, kami bakal menaja beberapa siri konsert.
“Dalam masa yang terdekat, menerusi jenama kecantikan Kamya Glow dan restoran Daigor Hong Kong Muslim, kami menaja konsert Andmesh Kamaleng.
“Kamya Glow menjadi penaja konsert yang bakal diadakan pada 4 Jun hadapan manakala Daigor yang baru sahaja dibuka menaja acara makan malam sempena Meet & Greet bintang berbakat besar Indonesia itu bersama peminat,” katanya.
Erna ditemui di majlis pembukaan Daigor Hong Kong Muslim yang terletak di Jumpa @ Plaza Sungei Wang, Bukit Bintang baru-baru ini.
Daigor buah hati baru Erna
Bercerita lebih lanjut mengenai ‘buah hati’ itu, Erna memilih itik panggang sebagai antara signature dish istimewa yang wajib dicuba pelanggan.
“Menu istimewa yang wajib dicuba ialah itik panggang. Susah nak cari itik panggang yang berstatus halal di negara kita tetapi kami menjadikan ia sebagai tarikan untuk berkunjung ke Daigor. Selain itu, hidangan Cheese Baked Rice dan pelbagai jenis daging, makanan laut, charcoal custard lava bun dan juga air kopi antara keistimewaan yang ditawarkan di sini.
“Kami menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama hampir tujuh bulan untuk mendapatkan rasa yang paling dekat dengan apa yang dijual di Hong Kong,” katanya lagi.
Sekadar info, konsert Andmesh Kamaleng Live in Kuala Lumpur bakal berlangsung pada 4 Jun 2023 di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan ditaja oleh Kamya Glow iaitu produk kesihatan dan kecantikan dibawah payung AlphaNeyaga Sdn. Bhd, yang juga sebuah syarikat subsidari AlphaCapital (M) Berhad.
Daigor pula merupakan rangkaian perniagaan makanan baharu di bawah jenama K-Town Alpha iaitu syarikat subsidiari Alphacapital yang memiliki variasi cabang perniagaan.
Selain Erna yang bertindak sebagai Lembaga Pengarah AlphaCapital, majlis pembukaan terbabit turut dihadiri oleh pengasas Daigor, Andy Goh, Ketua Pegawai Eksekutif Alphacapital, Syed Mahadzir Fadaak dan Hilal Haizan selaku Lembaga Pengarah.
Must-Watch Video