Baru-baru ini viral satu video memaparkan kecantikan jambatan pejalan kaki yang digelar sebagai Saloma Link.

Rata-rata pengguna media sosial memuji rekaan Saloma Link yang disifatkan sebagai modern dan futuristik.

Malah, ramai juga yang tdak sabar untuk mengambil gambar di jambatan berkenaan apabila ia dibuka secara rasmi tidak lama lagi.

Pada yang tidak tahu, simbol ikonik baru itu dibina berhampiran Stesen LRT Kampung Baru merentasi Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) menghubungkannya dengan Jalan Saloma, tidak jauh dari KLCC.

Difahamkan, ia lengkapi dihiasi sistem pencahayaan canggih yang akan menonjolkan keunikan jambatan ini pada waktu malam, sama seperti Bridge of Peace di Tbilisi, Georgia.

Namun, kelainan konsep seni binanya diinspirasikan 'Sirih Junjung' yang sangat sinonim dengan adat resam budaya Melayu.

Saloma Link juga dijangka menjadi tarikan utama pelancong di Kampung Baru tidak lama lagi sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).

Mereka berpeluang mengambil gambar berlatarkan KLCC di dua kawasan bergambar yang disediakan di jambatan sepanjang 370 meter itu.

Pastinya gambar yang diambil sangat 'Instagram Worthy'.