Aksi pelakon bertubuh sasa Zul Ariffin mendukung seorang wanita bertudung untuk mempromosikan produk bengkung tular di media sosial baru-baru ini.

Tampil mengulas mengenai perkara terbabit yang telah mengundang kecaman hebat warganet, Zul memberitahu adegan dalam video terbabit tidak dirancang.

Zul, 36, berkata adegan seperti itu tidak patut diperbesarkan kerana dia hanya melaksanakan peranan sebagai duta bagi produk tersebut.

"Idea untuk melakonkan aksi pegang tangan, dukung tersebut berlaku secara spontan. Sebenarnya kami risau juga mengenainya tetapi selepas ditonton semula, nampak okey dan kami gunakan saja.

"Aksi dukung dalam video promosi tersebut sama juga seperti apa yang saya lakukan dalam mana-mana drama. Saya dilantik sebagai duta produk tersebut kemudian saya jalankan tugas saya seperti yang sepatutnya.

"Kami tak rancang pun sebenarnya aksi-aksi tersebut. Babak tersebut juga tak sepatutnya menjadi isu sebab itu sebahagian daripada kerja saya," ujarnya ketika pelantikannya sebagai duta bengkung keluaran jenama Superwoman di Concorde Hotel, Shah Alam pada Jumaat.

Pada awal Januari lalu, aksi mesra Pelakon Terbaik Filem Festival Filem Malaysia 31 (FFM31) mendukung dan memegang tangan pengasas produk bengkung iaitu Farah Abdul Aziz menerima kecaman hebat daripada netizen.

A post shared by zul_ariffin (@zul_ariffin)


Video yang dimuat naik di akaun Instagram Zul itu membuatkan peminatnya terkejut kerana menganggap iklan tersebut tidak setaraf dengan aktor itu yang mempunyai kelas tersendiri.

Tambah bintang filem Sangkar itu lagi, dia sudah lali dengan kecaman netizen dan cukup faham dengan permainan dunia hiburan.

"Mengenai kritikan pula, perkara tersebut seperti sarapan pagi, saya telan saja semuanya. Setakat ini, aksi tersebut saya pandang hanyalah dari sebuah video pendek dan tidak lebih daripada itu.

"Apa yang penting ialah mesej yang hendak disampaikan iaitu mempromosikan kelebihan produk tersebut kepada umum. Ini adalah dunia bisnes, publisiti tetap publisiti.

"Bagi saya, jika perkara tersebut dilihat dari sudut positif, maka baiklah mesejnya dan sekiranya negatif, jadi buruklah isinya," tambahnya.

Mengulas mengenai pembabitannya sebagai duta produk tersebut, Zul terharu kerana dirinya dipilih dan diberi kepercayaan itu. Malah, Zul percaya, penggunaan bengkung bukan sahaja khusus untuk kaum wanita, tetapi boleh juga digunakan oleh kaum lelaki terutama untuk tujuan sokongan tubuh badan yang tegap dan seumpamanya.

"Saya juga menyukai produk bengkung yang banyak membantu saya bersenam di gimnasium walaupun saya akui, tak kongsikan aktiviti senaman saya di media sosial. Saya jenis suka buat secara senyap. Tetapi untuk ini, tak lama pun saya ambil masa untuk bersetuju sebab memang menggunakan bengkung untuk tujuan sokongan tubuh badan.

"Senang bekerjasama dengan pasukan Superwoman dan saya juga menyukai produk bengkung yang dikeluarkan. Semestinya, saya mahukan sesuatu yang berkualiti kerana turut menggunakan nama saya sebagai duta," katanya.