Siapa sangka di saat dunia berdepan pandemik, penyanyi kelahiran Bali ini mampu meraih populariti yang cukup mengagumkan.

Semuanya gara-gara lagu ‘cover’ Terpesona yang menjadi siulan warga media sosial, baik di Indonesia mahupun Malaysia.

Menurut Bulan Suntena, 17, biarpun dia masih baru dan muda, namun dia sudah bersedia mengharungi dunia glamor.

“Sejak kecil sudah impikan untuk ceburi bidang muzik. Dengan populariti saya dapat sekarang, saya sangat bersyukur.

“Saya cuma mahu hasilkan karya muzik berkualiti. Ramai pasti tahu lagu Terpesona itu adalah lagu 'cover’.

“Memang tak sangka dapat sambutan luar biasa apabila versi saya menjadi tular,” katanya.

Jelasnya, dia juga mengimpikan lagu original sendiri berbanding setakat menyanyikan lagu ‘cover’.

"Untuk makluman semua saya sudah lancarkan lagu Ghosting yang mana liriknya saya tulis sendiri dan berharap diterima luar biasa sebagaimana Terpesona," katanya.

Tambahnya, dia juga perlu menerima hakikat dengan populariti dikecapi, dia pasti tidak terlepas daripada komen dan kritikan berbaur kecaman.

"Pengalaman paling menyakitkan hati adalah apabila video nyanyian saya yang agak sedikit ‘false’ atau sumbang jadi tular.

“Hanya part sumbang saya saja diambil dan kemudian viral di TikTok. Saya mendapat pelbagai kecaman yang mempersoalkan kredibiliti nyanyian saya secara langsung.

“Kata mereka oh hanya cantik saja, menyanyi sumbang.

"Bagaimanapun, saya tetap terbuka menerima kritikan itu sebagai pembakar semangat. Masih banyak lagi ilmu yang saya ingin timba dalam misi mengembangkan karier muzik," katanya.