Miss World Malaysia 2021, Lavanya Sivaji membuat permohonan maaf secara terbuka kepada masyarakat Indonesia selepas dikecam wargamaya republik itu kerana isu batik.

Menerusi laman sosial Instagram, Lavanya menitipkan permohonan maaf tersebut untuk tatapan umum.

“Kepada semua peminat ratu cantik terutamanya di Indonesia, saya ingin memohon maaf jika saya ada menyinggung perasaan sesiapa menerusi hantaran saya.

“Saya mengakui perkataan Batik, asal usul dan sejarahnya itu bermula dari Jawa. Tetapi ada beberapa negara yang menerapkan elemen batik seperti Malaysia, Sri Lanka, India dengan motif dan corak tersendiri.

“Tidak kira Malaysia, Indonesia atau mana-mana negara pun, saya akan sentiasa berbangga apabila memakai batik. Saya ingin berterima kasih kepada semua yang mengingatkan saya untuk menghormati tradisi, budaya dan asal-usul kita,” jelasnya di ruangan kapsyen.

A post shared by @lavanyasivaji


Isu kecaman itu terjadi selepas Lavanya menyatakan gaun malam yang dipakainya sewaktu di pertandingan Miss World Malaysia 2021 dihasilkan daripada kain batik Malaysia.

Menerima kecaman dan kritikan pedas daripada wargamaya negara itu di ruangan komen, Lavanya bertindak menutup ruangan komen di akaun Instagram miliknya.

Pada acara kemuncak ratu cantik berprestij itu, Lavanya, 25, dinobatkan sebagai Miss World Malaysia 2021 mengalahkan 38 finalis yang lain.

Lavanya yang merupakan seorang doktor akan mewakili Malaysia di pertandingan Miss World yang akan diadakan pada 16 Disember ini di Puerto Rico.