Perkongsian foto pelakon Meerqeen dengan aktres antarabangsa iaitu Gal Gadot ketika menhadiri acara di New York pada April lalu mengundang pelbagai kritikan daripada netizen.

Bagaimanapun Meerqeen menjelaskan tujuan dia bergambar dengan pelakon Wonder Woman itu kerana meminati lakonannya dan bukannya menyokong kenegaraan aktres itu.

“Saya rasa okay saja… sebab saya ambil gambar dengan dia bukan sebab dia Israel ke apa. Saya nak bergambar dengan dia sebab dia seorang pelakon dan saya pun sama.

“Jadi, bagi saya tiada salah la. Bukan saya sokong dia… bukan saya sokong apa yang dia buat. Saya suka dia disebabkan dia pelakon sama dengan saya.

“Jadi, why not kalau ada peluang macam itu. Kalau orang yang condemn saya pun, kalau jumpa Gal Gadot pun tangkap gambar juga. Jadi, apa bezanya? Tak ada beza pun kan,” katanya kepada Gempak.

Meerqeen menjawab persoalan itu ketika ditemui di majlis Aidilfitri Civicas Network & Meerqeen yang bertempat di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Terdahulu, foto Meerqeen dengan Gal Gadot menerima kritikan netizen yang rata-ratanya berpendapat Meerqeen tidak sepatutnya bergambar dengan aktres kelahiran Israel itu.