Laman Utama
Dikritik Terlalu Seksi Dalam 'Hati Yang Dikhianati', Mona Allen; "Sebagai Pelakon Saya Perlu ..."
Bintang drama rantaian Hati Yang Dikhianati, Mona Allen akui dia berdepan kritikan ekoran daripada cara berpakaian yang disifatkan terlalu seksi dalam drama tersebut.
Bagaimanapun, Mona menganggap pilihannya (untuk berpakaian seksi) itu sebahagian daripada tanggungjawab dan tugasnya sebagai pelakon.
"Saya sedar yang saya telah dikritik oleh netizen kerana penampilan yang dikatakan seksi dalam drama ini.
Advertisement
"Komen saya, kita sebagai pelakon perlu menjayakan watak yang diberi, kalau nak dikritik memang saya terima sebab penampilan Maria memang seksi kerana dia merupakan seorang penggoda," ujarnya.
Mengulas mengenai penerimaan suami iaitu pelakon Pekin Ibrahim, jelas Mona kerjaya mereka berlandaskan profesionalisme.
"Alhamdulillah, Pekin sebagai seorang pengarah, pelakon dan juga produser, jadi dia faham dan memberikan sokongan terhadap lakonan saya . Sebagai pelakon, saya perlu bawakan watak itu dan dia sokong sahaja," katanya.
Berdepan cabaran tersendiri untuk menjayakan peranan wanita antagonis, tambah Mona lagi dia perlu sentiasa berhati-hati dalam setiap pergerakan.
"Dalam drama ini, watak Maria memerlukan saya memakai pakaian seksi dan berkelakuan agresif. Jadi ia memang berbeza dengan watak-watak penggoda atau antagonis yang pernah saya bawakan sebelum ini.
"Cabarannya ialah apabila saya perlu jaga menjaga watak seksi tersebut, memang susah nak bawa. Saya kena berhati-hati. Kena sekatakan watak seksi dan watak menggoda," ujarnya.
Karya ‘Mis Tres Hermanas’ versi Malaysia ini diarahkan oleh sutradara Riza Baharuddin serta turut menampilkan barisan penulis skrip yang diketuai oleh Eenaz Mokhtar.
Drama ini turut menampilkan pelakon berbakat besar antaranya Isyariana, Amar Baharin, Zamarul Hisham, Che Puan Syamim Farid, Afifah Nasir, Arena Iman, Shah Iskandar, Mia Nasir, Fazlina Ahmad Daud, Sahronizam- Noor serta ramai lagi.
Tampil dengan format berbeza berbanding sebarang karya adaptasi yang pernah diterbitkan sebelum ini di platform Astro, buat julung kalinya struktur naratif penceritaan dan pembinaan watak naskhah ini bakal ditentukan berdasarkan konsep model interaktif terbuka atau ‘open-ended’ yang dipengaruhi oleh maklum balas audiens dan rekod jumlah tontonan dari semasa ke semasa.
Jumlah keseluruhan episod untuk drama adaptasi ini juga turut bergantung kepada penerimaan penonton.
Drama ‘Hati Yang Dikhianati’ bakal bersiaran menerusi slot Tiara secara eksklusif pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 12 April 2021 di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Must-Watch Video