Hiburan
Dina Nadzir Akui Tiada Istilah Lambat Untuk Comeback
Penyanyi Dina Nadzir akui tiada istilah lambat untuknya kembali membuat kemunculan dalam bidang nyanyian selepas kali terakhir merakamkan lagu solo lima tahun lalu.
Penyampai radio Era FM, Dina atau nama sebenarnya Faradina Mohd Nadzir, 32, berkata dia mahu kembali secara serius dalam bidang nyanyian pada tahun ini selepas akui amat merinduinya.
"InsyaAllah tahun ini, saya merancang mahu membuat kemunculan semula dengan dua buah lagu baru.
"Sekarang ini saya dalam proses rakaman lagu untuk sebuah lagu single berjudul Dendam dan sebuah lagu hip hop balada berjudul Sebenarnya.
"Saya akui rindu untuk merakamkan lagu dan sebagainya kerana single terakhir ialah pada tahun 2011 iaitu Wanita Besi.
"Namun saya tak rasa saya sudah terlambat untuk kembali kerana dalam bidang muzik ini tiada istilah terlewat," katanya kepada Astro Gempak.
Pun begitu, Dina akui bukan mudah untuk membuat kemunculan semula kerana generasi baru lebih mengenalinya sebagai penyampai radio berbanding penyanyi.
"Saya tak nafikan memang bukan mudah untuk membuat kemunculan semula ni sebab generasi baru kini lebih banyak mengenali saya sebagai DJ Era FM berbanding penyanyi.
"Saya mungkin akan mengambil masa untuk mengumpul peminat tidak kisahlah peminat lama mahu pun yang baru.
"Namun tahun lalu, saya mendapat feedback yang baik ketika saya merakamkan lagu bersama Charlie Puth untuk lagu We Dont Talk Anymore.
"Dari situ saya yakin peminat masih menantikan lagu baru dari saya," katanya lagi.
Dina merupakan penyampai radio Era dalam segemen Petang Era bersama pelawak Fad Bocey yang bermula dari jam 4 hingga 8 malam.
Teks oleh Syafiqah Jalal
Must-Watch Video