GEMPAK MOST WANTED AWARDS 2024

Dinobat Anugerah Khas Keluang Man of the Year GMWA24, Abbe Hae: “Buat Anak Muda Teruskan Buat Kebajikan…”

Maliah Surip 24/02/2025 | 07:50 MYT
Penerima Anugerah Khas Keluang Man Of The Year Gempak Most Wanted Awards 2024 (GMWA24) Abbe Hae melahirkan rasa terima kasih di atas pengiktirafan yang diberi kepadanya sebagai seorang aktivis.

Abbe Hae atau nama sebenar, Mohd Azhan Mohd Adnan, 56, yang cukup terkenal sebagai Penjejak Fakir Jalanan turut menyeru terutama kepada golongan muda untuk terus berbuat kebajikan.

“Saya mahu berterima kasih kepada Wonda Coffee dan Astro Gempak kerana tidak menjangka tercalon apa lagi membawa pulang Anugerah Khas Keluang Man Of The Year Gempak Most Wanted Awards 2024 (GMWA24).

“Besar harapan saya agar anugerah ini boleh memberi semangat kepada golongan muda untuk terus membuat kebajikan tidak kira kepada semua bangsa dan agama.

“Saya sudah berusia dan mungkin tidak punya masa yang panjang. Jadi buat anak muda teruskan buat kebajikan dan kebaikan sesama manusia,” ujar Abbe Hae sewaktu ditemui pada majlis yang berlangsung di Auditorium MBSA Shah Alam.

Menurut Abbe Hae lagi, pegangan utama sepanjang menjadi aktivis yang banyak membantu golongan gelandangan dan bermasalah termasuk najis dadah adalah kasih sayang.

“Saya memulakan misi ini berdua sahaja dengan isteri pada awalnya. Dan kami mulakan dengan penuh kasih sayang kepada golongan gelandangan yang dibantu.

“Sekiranya tidak mula dengan kasih sayang, jiwa dan roh maka pekerjaan jadi sekerat jalan. Insha Allah jika kita lakukan dengan kasih sayang ia akan berlanjutan,” katanya lagi.

Beliau juga mempunyai misi untuk memutuskan rantaian kemiskinan dalam kalangan keluarga terutama kanak-kanak kerana tidak mahu generasi akan datang menjadi fakir.

Menerusi anugerah khas tersebut, Abbe Hae memperoleh 90 peratusan undian sekali gus menewaskan enam calon lain iaitu Aleeya Zailan, Yayan, Kapten Zahiruddin, Team LKP, Leeroy Wong dan Staf Sarjan Nor Khalid.

Anugerah khas Keluang Man of the Year mengiktiraf individu yang memberi impak khas dalam komuniti.

#of #The #Man #Khas #keluang #“Abbe #“Anugerah #Hae” #WONDA #Year”