Hasil siasatan polis mendapati kemalangan membabitkan penyerang bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) Muhammad Syafiq Ahmad, 25, dipercayai berpunca akibat terlelap semasa memandu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, pemandu yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dipercayai hilang kawalan semasa memandu dan terbabas melanggar pembahagi jalan di sebelah kanan.

Menurutnya, kenderaan itu kemudian terbalik dan terseret hingga lebih kurang 90 kaki berdasarkan kesan calar di atas jalan raya.

“Siasatan juga mendapati ketika kejadian, cuaca baik dan kemalangan berlaku di jalan lurus, rata, bertar, tiga lorong (satu lorong susur keluar ke Tol Jawi), satu hala, jalan kering dan kawasan gelap berlampu.

“Bedah siasat ke atas ketiga-tiga mangsa di Hospital Sungai Bakap mendapati punca kematian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan dan kepala,” katanya.

Menurutnya lagi, polis turut mengambil sampel darah pemandu bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Untuk rekod, dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi Ahad, di Kilometer 163.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat Sungai Bakap, tiga dilaporkan maut iaitu ibu mentua Muhammad Syafiq, bayinya serta pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.

Isterinya, Nur Amalina, cedera parah dan dirawat di Hospital Seberang Jaya.

Bagaimanapun, Muhammad Syafiq, 25, dan anak perempuannya Aaira Nur Safiyya, 2, hanya cedera ringan.

Jenazah ibu mentua dan bayi lelaki Muhammad Syafiq selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Murai, Padang Pusing, Pendang kira-kira jam 8.25 malam tadi.

Kedua-dua jenazah, Zainab Wahab, 46, dan Muhammad Aisy Saqeef yang baru berusia 22 hari, dikebumikan dalam satu liang.

BACA: Syafiq Ahmad Kemalangan, Bayi Penyerang JDT Ini & Dua Wanita Meninggal Dunia

Sumber : Astro Awani