Bintang Muzikal Lawak Superstar (MLS), Nadzmi Adhwa menegaskan tidak mempunyai sebarang masalah dengan ahli kumpulannya, Kitawa yang dianggotai oleh Tapai Gegar Lawak dan Ilham Abata.

Menurut Nadzmi, babak meninggalkan pentas selepas mengucapkan ayat yang menunjukkan dirinya seolah-olah dipulaukan Kitawa hanyalah aksi spontan untuk melengkapkan sketsa kumpulannya.

“Dipinggirkan? Mana ada, tak ada masalah pun. Kami semua sekampung dan perkara itu juga membuatkan saya senang dengan mereka.

“Kenyataan atas pentas itu hanya tindakan spontan sahaja, yang sebenarnya tidak ada apa pun. Memang penghabisan sketsa itu begitu.

“Hal yang sebenarnya kerana kami sedang pening memikirkan cara pengakhiran lakonan itu kerana khuatir cerita yang disampaikan menjadi terlalu panjang dan meleret,” jelasnya ketika ditemui Gempak.


Mengulas mengenai program MLS, Nadzmi berkata untuk membuat lawak bukanlah satu perkara yang mudah.

“Dari segi isi kandungan lawak, saya banyak menyerahkan kepada Tapai dan Ilham kerana mereka lebih berpengalaman dan pernah menyertai pertandingan yang hebat-hebat.

“Saya pun tidak mahu 'overdo' sebab bila terlalu mencuba ni bila lawak yang diberikan tidak menjadi ‘biru’ saya nanti.

“Selain itu saya juga ada tanya dan berbincang dengan mereka tentang apa yang perlu saya lakukan sebab saya tak pandai melawak.

“Tapi rezeki kami hanya sampai minggu ketiga sahaja. Pada saya, lawak yang saya buat itu rasa macam dah lawak dah tapi pada orang tidak. Nak buat macam mana, tak mengapalah.

“Yang penting saya dapat kumpul pengalaman bersama Kitawa dan juga belajar melawak,” katanya.

Terdahulu, Kitawa diumumkan sebagai bintang yang tersingkir dengan jumlah markah sebanyak 11.77%.

Kesemua bintang diadili 50% daripada juri tetap, Altimet, Nora Danish dan Datuk Awie manakala 50% lagi adalah undian.

BACA: Ops! Ini Dia Markah Penuh Minggu Ketiga Muzikal Lawak Superstar

MLS bersiaran selama 10 minggu, setiap Jumaat, jam 9 malam secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.

Program ini juga disiarkan secara eksklusif di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) serta boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan secara strim di On Demand.

Untuk mengundi bintang, undian boleh dilakukan secara:

1.Undian boleh dilakukan di gempak.com/muzikallawaksuperstar

2.Taip MLSNAMA KUMPULAN atau MLS (3/5/10/20)NAMA KUMPULAN untuk (3/5/10/20) undian ke 32777.

Untuk perkembangan terkini program Muzikal Lawak Superstar, layari www.gempak.com/muzikallawaksuperstar.