Nama penyanyi Wany Hasrita dan Aina Abdul secara tiba-tiba trending di Twitter apabila persalinan yang digayakan kedua-dua mereka menjadi perdebatan dan kecaman netizen.

Baju kedua-dua penyanyi itu dikritik ketika persembahan Separuh Akhir Muzik-Muzik 35 (SFMM35) yang berlangsung pada Selasa.

Difahamkan, Wany menggayakan persalinan Behati manakala Aina daripada Syamil Fazwan.

Gaya tudung Wany lebih mendapat perhatian netizen berbanding rekaan busana berwarna merah jambu itu.

Berdasarkan pemerhatian Gempak di Twitter, kebanyakan mereka mendakwa gaya tersebut kelihatan sedikit janggal dan kelihatan seperti pakaian mandi muslimah iaitu burkini.

Malah, ada juga yang lebih nakal dengan menyamakan tudung tersebut seperti lampin.

Lebih lucu, ada dalam kalangan netizen menyamakan padanan warna merah jambu dan putih itu seperti kuih apam beras dan putik kapas.


“Sakit hati sakit mata tengok tudung Wani,” kata seorang netizen.

“Wani Hasrita pakai pampers dekat kepala ke,” kata seorang lagi netizen.

Sementara itu bagi Aina pula, padanan busana berwarna hitam dan putih itu mengundang pelbagai imaginasi 'kreatif' netizen.

Namun, apa yang paling diperkatakan adalah gaya baju tersebut disamakan dengan rahib atau nun.

Lebih teruk lagi, apabila ada yang menyamakan Aina dengan watak Valak dalam filem seram The Conjuring.

“The nun inspired ke Aina?

“No offence, tapi baju Aina macam Valak.

“Meremang Aina menyanyi, tapi itulah baju pun macam The Nun,” tulis beberapa netizen.

Untuk rekod, Wany dan Aina masing-masing mara ke Anugerah Juara Lagu 35 (AJL35) menerusi lagu Belenggu Rindu dan Semalam.

Difahamkan, AJL35 akan berlangsung pada 7 Februari 2021, secara langsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.