Vokalis kumpulan Exists, Mamat melahirkan kekecewaan terhadap segelintir pihak termasuk netizen yang pernah merakam dan membuat ‘cerita’ tentang dirinya tanpa mengetahui hal sebenar.

BACA: “Lamanya Tak Tengok” - Makin Kurus, Ramai Terkejut Tengok Penampilan Terbaharu Mamat Exist

Kekecewaan tersebut dilahirkan selepas sepotong video yang disebarkan di akaun TikTok pada bulan lalu memperlihatkan pemilik nama sebenar Mohd Ali Kamarudin itu sedang menyanyi sehingga menerima banyak kritikan terkait kesihatan dan keadaannya sekarang.

Mamat, 45, kemudian menjelaskan dia tidak sedar dirinya dirakam sehingga menimbulkan spekulasi kurang enak kerana tiada sesiapa meminta izin kepadanya.

“Sebenarnya masa itu saya tidak berapa sihat saja. Bukan sangat tidak sihat.

“Seingat saya itu waktu pagi. Saya dirakam pada waktu pagi dan saya berada di dalam kampung halaman sendiri. Orang (kampung) memang sudah kenal saya.

“Saya tidak sangka berita itu keluar. Saya rasa pada masa akan datang walaupun dalam kampung sendiri saya kena berjaga-jaga,” ujar Mamat.

Mamat ditemui media sewaktu majlis pelancaran Konsert Exists X Orkestra yang bakal berlangsung di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 22 Disember 2023.

Kesal dengan apa yang telah berlaku, penyanyi yang pernah menyertai program Gegar Vaganza tersebut menitipkan nasihat serta meminta agar semua pihak lebih peka dengan tindakan yang dilakukan.

“Sebelum melakukan sesuatu atau keluarkan sesuatu cerita, perlu tahu apa sebabnya.

“Tapi bila bercakap tentang media sosial ini, susah mahu cakap. Kadang-kadang peminat sendiri boleh rakam kita. Dia tidak tanya kita terus buat, benda itu jadi spekulasi dan menjadi masalah,” ujar Mamat.

Dia kemudian menjelaskan tindakan yang dilakukan tanpa berfikir panjang akan menyusahkan banyak pihak. Hal itu termasuklah dengan dirinya apabila muncul atau keluar cerita mahupun foto dan video yang disifatkan sebagai ‘murahan’.

“Benda ini akan menyusahkan kita. Jangan menyusahkan kita, bila nak buat show pada masa akan datang, banyak benda kita kena jawab.

“Terus terang saya kata saya tidak berminat mahu melayan hal sebegini, muka tidak keluar surat khabar pun saya tidak hairan,” katanya lagi.

Terdahulu video yang memperlihatkan dirinya menyanyi di sebuah warung mendapat perhatian ramai kerana disifatkan mengalami banyak perubahan daripada segi kesihatan sehingga ada yang sukar mengenali dirinya.