Hiburan
Disebabkan Koronavirus, Konsert Nusa Fest Ditangguh
Pihak Shiraz Projects dengan persetujuan semua artis terlibat telah bersetuju untuk menangguh festival Nusa Fest yang sepatutnya berlangsung pada 7 dan 8 Mac ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim, penangguhan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga dalam usaha mencegah penularan Koronavirus yang kini sedang melanda seluruh dunia.
"Pihak kami dengan persetujuan semua artis yang akan membuat persembahan dalam festival ini telah bersetuju untuk menangguh Nusa Fest ke bulan Julai.
"Perkara ini tidak dapat dielakkan. Kami akan memaklumkan satu tarikh yang baru dalam masa terdekat nanti.
"Penjualan tiket masih berjalan seperti biasa. Namun, mereka yang sudah membeli tiket boleh membuat pulangan tiket semula," ujarnya.
Shirazdeen berkata demikian di sidang media Nusa Fest yang diadakan di Alila Bangsar, Kuala Lumpur petang semalam.
Festival ini akan menggabungkan kumpulan dan penyanyi solo dari tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Antara barisan penyanyi yang akan membuat persembahan adalah Butterfingers, Caprice & Badboii, K-Clique, Joe Flizzow, Exist Reunion, Maliq & D'Essentials, Padi Reborn, Raisa dan ramai lagi.
Tiket dijual pada harga RM100 (sehari) dan RM175 (dua hari) untuk pakej 'early bird'.
Manakala harga normal dijual bermula RM125 (sehari) dan RM200 (dua hari, tiket VIP pula berharga RM800 untuk dua hari.
Pembelian tiket boleh dibuat menerusi www.myticket.asia bermula 16 Januari lalu.
Must-Watch Video