Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha mengakui mengalami sedikit ‘trauma’ dan anxiety ketika melakonkan beberapa babak dalam filem seram terbaharu, Sumpahan Jerunei.

Daiyan berkata, babak-babak yang dilakukannya agak ekstrem sehingga menyebabkan dia mengalami lebam-lebam, jangkitan pada telinga dan serangan anxiety.

“Ketika saya jayakan babak-babak ekstrem dalam filem ini, saya alami banyak lebam-lebam pada badan. Banyak juga luka dan juga jangkitan pada telinga.

“Selain itu, saya turut alami serangan anxiety ketika menjayakan babak dalam selut. Begitu juga ketika jayakan babak dengan Tony Eusoff. Selepas selesai pun saya menangis sebab ia memang memberi kesan yang agak kuat kepada saya secara mental.

“Namun apa pun, apa yang saya lalui sangat berbaloi selepas melihat hasilnya,” katanya kepada Gempak.

Daiyan berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Sumpahan Jerunei yang diadakan di ibu kota baru-baru ini.

Dalam pada itu, Daiyan turut memberikan komen terhadap penampilannya yang agak berbeza sehingga gagal untuk dikenali ketika beraksi di layar lebar.

“Proses penggambaran filem ini berlangsung sekitar empat tahun lalu, sebelum pandemik melanda dunia. Jadi ketika itu, saya mungkin tidak pentingkan penampilan dan kehendak karakter.

“Solekan pun saya tak kisah sangat… mungkin sebab itu saya nampak agak berbeza dalam filem ini,” katanya lagi.

Menampilkan pelakon lain seperti Uqasha Senrose, Bront Palarae, Amerul Affendi, Syafie Naswip dan Ruminah Sidek, Sumpahan Jerunei bakal ditayangkan pada 27 Julai depan.

BACA: "Ketika 16 Tahun, Saya Nak Warnakan Rambut, Bertindik... Tapi Tak Boleh" - Daiyan Trisha

BACA: Banyak Babak Aksi, Shooting Dalam Hutan! Bront Palarae Cerita Detik Sukar Berlakon Filem Sumpahan Jerunei - "Saya Terima Tawaran Sebab..."​