“Disiplin, Latihan, Badan & Mental Yang Sihat” – Jadi Rian, Raline Shah Kongsi Video Menembak

Mya Amri
November 29, 2018 09:50 MYT
Pelakon terkenal Indonesia, Raline Shah berkongsi pengalaman melakonkan watak Rian dalam filem sekuel Polis Evo 2 (PE2).
Menurut Raline, watak itu tidak mudah dan memerlukan kesungguhan serta kesabaran yang tinggi untuk memastikan segalanya berjalan dengan lancar.
“Tahun lalu, saya diberi kesempatan untuk melakonkan filem aksi pertama saya. Belum pernah saya mendapat tawaran seperti ini dan saya rasa sangat berbesar hati kerana diberi peluang untuk berlakon filem kolaborasi antara Malaysia dan Indonesia ini.
“Saya banyak belajar dari latihan intensif yang kita jalani bersama aktor-aktor hebat lainnya. Dari sini, saya jadi benar-benar tahu bahawa dengan disiplin, latihan, badan yang sihat dan mental yang sihat kita boleh mempelajari apapun yang kita inginkan.
“Proses penggambaran secara fizik menjadi senang dan ringan apabila kita kembali sedar bahawa memang ini memang pilihan kita.
“Peranan saya sebagai Rian dalam PE2 ini sememangnya saya banggakan. Saya menjadi aktres pertama Indonesia yang menjadi pelakon utama di negara tertangga, Malaysia.
“Saya benar-benar berharap filem ini akan ditayangkan di Indonesia juga supaya kita dapat menikmatinya bersama.
“Pengalaman saya selama menjalani penggambaran file mini sangat berharga dan tidak akan saya lupakan. Rakan-rakan di Malaysia jangan lupa tonton hujung minggu ini ya,” tulisnya menerusi satu entri di akaun Instagram miliknya baru-baru ini.
Entri itu juga disertakan dengan video pendek yang merakamkan Raline sedang melakonkan babak menembak.
Dalam pada itu, rata-rata peminat yang sudah menonton PE2 memuji keberkesanan lakonan Raline selain kagum dengan jalan cerita filem tersebut.
Selain Raline, filem arahan Joel Soh dan Andre Chiew ini menampilkan Shaheizy Sam, Zizan Razak, Hasnul Rahmat, Erra Fazira, Soffi Jikan, Syafie Naswip dan Hairul Azreen.
Polis Evo 2 terbitan Astro Shaw, Surya Citra Media (SCM) dan produksi oleh BlackFlag ini boleh ditonton di 146 pawagam seluruh Malaysia dan Brunei.
Tayangan rasmi di Singapura pula adalah pada hari ini (29 November).
Apa tunggu lagi, dapatkan tiket anda sekarang dan sama-sama saksikan pertempuran Polis Evo 2 di pawagam!
Jaga-jaga boh!
Foto: Astro Shaw/ Instagram @ralineshah
#pelakon #Pelakon #Polis Evo 2 #Raline Shah