Sejak pelancaran Disney+ Hotstar di Malaysia tahun lalu, pelbagai kandungan menarik tersedia dalam katalog jenama tersebut untuk distrim.

Selain filem-filem bercorak aksi dan variasi naskhah Marvel Cinematic Universe (MCU), Disney+ Hotstar turut menawarkan pelbagai siri menarik dan antara yang sering mendapat perhatian termasuklah drama bersiri daripada Korea Selatan.

Pernah meraih perhatian penonton menerusi beberapa siri popular sebelum ini, Disney+ Hotstar terus komited dalam mengembangkan katalog kandungan mereka sepanjang 2023.

Menerusi acara Disney Content Showcase yang berlangsung di Marina Bay Sands, Singapura baru-baru ini, sederet siri original Korea baharu diumumkan dan bakal menemui penonton tidak lama lagi.



Bakal ditayangkan pada 7 Desember ini, Connect yang dibintangi oleh Jung Hae In ini berkisar tentang manusia abadi bergelar ‘connect’ bernama Ha Dong Soo yang diculik sekelompok pencuri organ kerana mahu mengambil matanya.

Bagi penggemar genre aksi, barangkali boleh nantikan Big Bet, sebuah naskhah yang dibintangi oleh Lee Donghwi, Heo Sungtae, Choi Minsik dan diarahkan oleh Kang Yunsung. Bakal menemui penonton pada 21 Disember ini, Big Bet berkisar tentang seseorang yang berjuang untuk menjadi pemilik kasino. Begitupun, hidupnya berubah selepas musibah datang melanda.



Sementara itu, Call It Love yang bakal menemui penggemar pada tahun hadapan memaparkan kisah seorang gadis bernama Woojoo yang mengalami kekacauan dalam hidup setelah mendapat tahu ayahnya sendiri bermain kayu tiga dengan seorang wanita.

Lebih malang, Woojoo diusir keluar dari rumah oleh wanita itu selepas bapanya meninggal dunia. Dan konflik mula tercetus apabila dia mencintai seorang lelaki yang merupakan anak kepada wanita yang telah menghancurkan hidupnya.

Selain tiga drama ini, drama-drama lain yang turut diumumkan termasuklah:

Moving
Dibintangi Ryu Seungryong, Han Hyojoo, dan Zo Insung dan diadaptasi daripada siri webtoon popular karya Kang Full, Moving menceritakan tentang kisah tiga remaja yang mengetahui bahawa mereka mewarisi kekuatan luar biasa daripada orang tua mereka yang merupakan agen rahsia.

The Worst Of Evil
Berlatar belakangkan tahun 1990 di Korea, The Worst of Evil mengikuti sebuah kisah sebuah pasukan penyiasatan yang terlibat dalam kes pengedaran dadah. Dibintangi oleh Ji Changwook, Wi Hajun, dan Lim Semi, The Worst Of Evil ini sedang dalam proses penggambaran.



Soundtrack #2
Pemuzik Hyunseo dan Suho bertemu sebagai seorang vokalis dan pemain keyboard di sebuah band kampus. Saat bertemu, mereka pun jatuh cinta. Namun, setelah tamat belajar, tekanan hidup kian bertambah sehingga menyebabkan mereka berpisah. Empat tahun selepas putus, takdir mempertemukan mereka kembali, tapi adakah mereka mampu mengembalikan sesuatu yang dulu pernah dimiliki bersama?

Shadow Detective Season 2
Disutradarai oleh Han Donghwa, Lee Sungmin, Gyeong Sujin, dan Lee Hakjoo, siri Shadow Detective kembali dengan musim kedua. Dengan pertaruhan yang lebih besar berbanding sebelumnya, apakah Detektif Taekrok dapat menyelesaikan kes terakhirnya sebelum terlambat?

Race
Ditulis oleh penulis ternama Kim Roori, Race menceritakan tentang seorang pekerja yang membuktikan potensinya setelah mengetahui dia direkrut oleh syarikat publisiti popular atas pelbagai sebab.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!