Penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa bersyukur kerana mampu bertahan sebagai penyanyi selama 25 tahun.

Bagaimanapun, Diva negara seberang itu sendiri tidak tahu menyimpulkan sebab atau rahsia bagaimana namanya mampu kekal relevan sehingga kini.

"Alhamdulillah, sudah masuk 25 tahun saya berkarya, saya sangat bersyukur.

"Tentang bagaimana boleh kekal relevan, saya tak tak tahu kenapa, sumpah saya tak tahu, saya hanya bersyukur saja," katanya dalam nada penuh rendah diri.

Rossa berkata demikian dalam sebuah sidang media virtual sempena pelancaran single terbarunya, Terlalu Berharap baru-baru ini.

Namun demikian, Rossa sedar bahawa kebanyakan lagunya mendapat sambutan baik dan digemari oleh generasi berbeza.

"Saya rasa, mungkin sebab lagu-lagu saya didengari oleh generasi berbeza.

"Contohnya dari ibu-ibu atau mak cik, kemudian turun ke anak-anak mereka pula," katanya lagi.

Single Terlalu Berharap dicipta oleh Andmesh dan merupakan runut bunyi untuk filem Love Knots yang dibintangi Rizky Nazzar, Beby Tsabina, Aidil Saputra dan ramai lagi.

Video lirik lagu tersebut menampilkan para pelakon filem itu sendiri, manakala video muzik rasminya akan menyusul kemudian.

BACA: "Siapa Ya? Maaf Saya Tak Perasan..." - Ini Respon Rossa Bila Ditanya Tentang Iqbal