Sukan

Ditendang Pihak Lawan, Atlet Silat Sukma Terengganu Meninggal Dunia

gempak
Gempak
03/03/2024
06:14 MYT
Sponsor Banner
Ditendang Pihak Lawan, Atlet Silat Sukma Terengganu Meninggal Dunia
Atlet silat Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, 21, meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menyertai pertandingan di Dewan Komuniti Taman Coral Height Seremban, Negeri Sembilan petang semalam.

BERITA TRENDING: Atlet MMA Victoria Lee Meninggal Dunia Di Usia 18 Tahun, Kakak Sebak - "Saya Sayangkan Awak"

Allahyarham difahamkan rebah setelah terkena tendangan pihak lawan sebelum disahkan meninggal dunia jam 1.20 pagi ini ketika mendapat rawatan di Hospital Tuanku Jaafar.
Kakak sulung Allahyarham, Wan Nor Haslinda dihubungi Sinar Harian berkata, keluarga dimaklumkan berkenaan kejadian itu kira-kira jam 5.30 petang semalam.
"Jurulatih telah hubungi ayah maklumkan yang arwah terpaksa dikejarkan ke hospital kerana tidak sedarkan diri selepas terkena tendangan pihak lawan.
"Tetapi saya tak tahu lebih lanjut bagaimana kejadian itu berlaku dan lebih kurang jam 2.30 pagi kami diberitahu yang dia telah meninggal dunia. Waktu tepatnya saya tak pasti," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, Allahyarham merupakan anak keempat daripada lima beradik dan berada di Seremban untuk pra Sukma sejak Jumaat lalu.
Katanya, kedua ibu bapa serta adiknya kini berada di HTJ untuk menunggu laporan post mortem jenazah Allahyarham.
Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Seremban berkata, mangsa dikatakan sudah tidak sedarkan diri selama 20 minit di lokasi dan sudah diberikan rawatan resusitasi kardiopulmonari (CPR).
"Sebaik kami tiba, pasukan mengambil alih pesakit dan serta merta terus mengaktifkan AED serta alat bantuan pernafasan BVM dan oksigen kepada pesakit itu.
"Selepas memberi satu renjatan melalui AED pesakit terus di bawa ke HTJ untuk rawatan susulan dan pada masa sama CPR masih lagi diteruskan sehingga tiba di hospital.
"Bagaimanapun, kami dimaklumkan pesakit meninggal dunia ketika menerima rawatan di HTJ awal pagi tadi," katanya. - Sinar Harian

BERITA TRENDING: “It Has Been A Wonderful 19 Years” - Muat Naik IG Story Terakhir, Atlet Renang Sarawak Ditemui Mati

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live