Hiburan
Dituduh Cabut Alat Pernafasan Arwah, Ibu Sandra Ingin Saman Individu Mulut Celupar!
Ibu kepada bintang Big Stage 2020 Sandra Dianne, Nor Syakinah Abdullah berang apabila dituduh membuat keputusan untuk menghentikan alat pernafasan anaknya ketika sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Tegas Syakinah, fitnah yang dilemparkan sangat melampau kerana dia didakwa menjadi punca kematian arwah.
"Allahuakhbar. Banyaknya fitnah yang bertebaran. Kuatkan hati hamba Mu ini Ya Allah.
"Kepada Eina Outlet, kami tak tau pula kalau kamu salah seorang daripada ahli keluarga kami yang tersesat nun di negeri Kedah.
"Sehinggakan komen kamu tentang kematian anak saya seolah-olah kamu ada di hospital ketika anak saya meregang nyawa. Saya anggap komen kamu keterlaluan dan ianya fitnah besar yang harus saya pikul.
"Kamu seolah-olah menuduh saya telah membunuh anak sendiri dan sengaja memilih tarikh yang jatuh pada hari Jumaat untuk kematian anak saya. Sungguh kamu tak punya hati nurani sebagai seorang insan!" tulisnya di laman Facebook (FB).
Jelas Syakinah lagi, arwah anaknya sudah mampu untuk bernafas sendiri selepas tiga hari terlantar di hospital.
Walaubagaimanapun, keadaan kesihatan arwah berubah menjadi tenat pada malam Khamis lalu segera dibantu oleh doktor namun Allah lebih menyayanginya.
"Untuk pengetahuan kamu dan juga semua orang yang membaca luahan hati saya ini.. Selepas tiga hari kemalangan iaitu pada hari Selasa, anak saya dah boleh bernafas sendiri dengan sedikit bantuan oksigen.
"Pada hari Rabu dia menjalani pembedahan tube pernafasan untuk membantu dia bernafas sendiri tanpa bantuan mesin. Sila rujuk gambar!
"Selepas pembedahan dia stabil pada siang hari Khamis tu, saya menjaganya di wad sepanjang hari sehingga ke malam, tak makan tak minum.
"Keadaannya menjadi tenat mulai jam 11 malam sehingga lah membawa kepada kematiannya pada jam 1 pagi Jumaat. Ketika dia tenat, doktor bertungkus lumus untuk membantu dia.
"Jadi, di mana rasionalnya kamu menuduh kami ahli keluarganya sengaja menyuruh doktor mencabut mesin pernafasannya sedangkan dia sudah boleh bernafas sendiri?!! Ini fitnah dan saya akan saman kamu!" tulis ibu pelantun lagu Hey Kau.
Sebelum ini, Syakinah terkilan dengan seorang netizen yang meninggalkan komen biadab dengan mengatakan kematian anaknya sebagai mati katak.
Sandra Dianne telah menghembuskan nafasnya yang terakhir kira-kira pukul 1 pagi tadi setelah enam hari bertarung nyawa akibat kemalangan.
Pada Sabtu lalu, Sandra atau nama sebenarnya Alessandra Dianne Ampuria, 26, terlibat dalam satu kemalangan kereta di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) ketika menuju ke Putrajaya International Convention Centre (PICC) bagi tujuan rehersal.