Seorang guru tuisyen popular yang dikenali sebagai Sir Badang membuat laporan polis selepas didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang pelajar wanita.

Menurut Sir Badang atau nama sebenarnya Muhammad Syahir, kejadian mengenai fitnah tersebut mula disedarinya pada 9 Disember lalu.

“Pada hari Khamis semasa saya berada di rumah, satu hantara Twitter telah dibuat yang mana hantara itu adalah satu fitnah.

“Satu pertuduhan serius telah dilakukan ke atas saya yang mana dia telah menuduh mencabul dia dan merekodkan video sewaktu dia sedang di bawah pengaruh alkohol.

“Kesemua kenyataan itu palsu dan tidak benar. Sehingga kini, pada jam 11.55 pagi hingga 11.44 malam, hantara tweet telah dikongsi dan mendapat lebih kurang 570 ciapan semula,” katanya pada laporan polis berkenaan.

Menurut Sir Badang yang turut berkhidmat di pusat tuisyen MCPLUS , hantaran dan perkongsian itu telah menjatuhkan air mukanya di mata masyarakat.

“Tujuan saya membuat laporan adalah untuk siasatan polis dan tindakan sivil selanjutnya,” katanya yang membuat laporan pada jam 1.34 pagi, 10 Disember lalu.

Laporan berkenaan dikongsi Sir Badang menerusi satu posting di Twitternya.

“Tuduhan yang amat berat melibatkan jenayah. Semoga yang benar kekal benar. Yang memfitnah terbongkar,” katanya pada ciapan berkenaan.

Sementara itu, pihak pengurusan MCPLUS dalam satu kenyataan rasmi menggantung khidmat Sir Badang berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan polis selesai.

Menurut kenyataan itu, pihak pengurusan MCPLUS juga ingin memaklumkan bahawa segala perilaku dan tindakan Sir Badang di luar skop kerja adalah di atas kapasiti peribadi beliau sendiri dan tidak mencerminkan MCPLUS secara keseluruhannya.

Tindakan selanjutnya aka diambil selaras dengan hasil siasatan.

Segala tugasan Sir Badang akan digalas oleh tutor lain dan perubahan jadual akan dikemas kini secepat mungkin.

“Pihak pengurusan MCPLUS memohon maaf rentetan is yang berlaku dan segala kesulitan amatlah dikesali.

“Kami menyokong sepenuhnya #MakeSchoolASaferPlace , dan semoga kebenaran tertegak,” tulis kenyataan berkenaan.

Sekadar info, sebelum ini, kecoh di media sosial apabila guru tuisyen popular, Sir Uzairi atau nama penuhnya Uzairi Mohd Taib mengaku silap selepas terlanjur meminta pelajarnya memanggil dirinya dengan gelaran daddy.

Susulan itu, Sir Uzairi terus mengemukakan peletakan jawatan daripada MCPLUS berkuat kuasa serta-merta.

“Saya bersedia sepenuhnya untuk menghadapi akibat daripada peristiwa malang ini,” tulisnya di Twitter.

BACA :Dikecam Selepas Minta Student Panggil Dirinya Daddy, Sir Uzairi Akui Silap, Letak Jawatan Sebagai Guru Pusat Tuisyen