Dituduh Terkait Aktiviti Pelacuran, Chacha Maembong Buat Laporan Polis & Sedia Bekerjasama Dengan SPRM

ZULHILMI JALIL
Oktober 22, 2020 14:05 MYT
Pelakon Chacha Maembong membuat laporan polis selepas mendapati terdapat pihak yang cuba membuat spekulasi mendakwa kononnya dirinya terkait dengan isu skandal seks yang mempunyai kaitan dengan kegiatan Macau Scam.
Menurut Chacha atau nama sebenarnya, Siti Aisyah Ismail, 24, laporan polis itu dibuat pada 20 Oktober lalu selepas mendapat nasihat daripada peguamnya.
"Tujuan laporan ini adalah bertujuan untuk memberhentikan dan menafikan segala fitnah yang berleluasa tentang diri saya berkenaan isu Macau Scam dan juga tuduhan aktiviti pelacuran.
"Saya juga akan bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) dan pihak polis jika dipangil untuk memberikan kerjasama," katanya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram.
Dalam hantaran tersebut, Chacha turut memuat naik salinan laporan polis yang dibuat di balai polis Seremban, Negeri Sembilan.
Katanya lagi, dia juga akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang cuba membuat tuduhan tidak berasas sehingga mencemarkan namanya.
"Saya juga akan mengambil tindakan kepada individu yang telah memfitnah dan menyebarkan tuduhan tersebut.
"Tindakan susulan daripada pihak guaman akan dijalankan.
"Laporan kes ini kini dalam siasatan, saya tidak akan membuat sebarang kenyataan sehingga siasatan daripada pihak polis selesai," ujarnya.
Sebelum ini, terdapat pihak yang mendakwa kononnya perniagaan yang diusahakan mendapat dana daripada sumber yang mempunyai kaitan dengan aktiviti Macau Scam.
BACA: Chacha Maembong Berang Dakwaan Bisnes Guna Dana Macau Scam; "Baca Dengan Bijak"
Bahkan, Chacha juga terpalit dengan dakwaan kononnya terkait dengan aktiviti tidak bermoral sehingga mampu meraih pendapatan lumayan.
BACA: Kesiannya Tak Pasal-Pasal Chacha Maembong, Fara Mendoza, Scha Difitnah! Tapi Siapa Mereka & Apa Kaitan Dengan Macau Scam?
Terdahulu, menerusi satu laporan akhbar mingguan, SPRM mendedahkan terdapat kegiatan aktiviti pelacuran kelas atasan melibatkan golongan artis yang mampu meraih sehingga RM40,000 semalam.
Penemuan itu susulan hasil siasatan terhadap kegiatan Macau Scam yang turut mengaitkan beberapa selebriti tanah air.
#Laporan Polis #ChaCha Maembong #Pelacuran