Biarpun masih dalam tempoh pandemik serba mencabar, namun ia bukan penghalang buat wakil media Malaysia untuk ‘terbang’ ke Tokyo, Jepun membuat liputan komprehensif temasya sukan penuh berpestij Olimpik.

Boleh diibaratkan sebagai hero tidak didendang, ia juga merupakan satu pengorbanan besar oleh petugas media buat seluruh rakyat Malaysia.

Jika tiada mereka, maka tiadalah laporan mengenai prestasi dan aksi hebat secara langsung daripada atlet tanah air yang berjuang di sana.

Bagi Astro Arena, seramai 20 orang krew termasuk wartawan ke Tokyo 2020 bagi membawakan kehangatan temasya berprestij ini bermula 23 Julai sehingga 8 Ogos 2021.

Ini menjadikan ia sebagai kontinjen media terbesar dari Malaysia.

Antara yang membuat liputan di negara matahari terbit itu adalah hos Astro Arena, Irfan Ali.

Menceritakan sedikit sebanyak mengenai persediaan wakil media, Irfan berkata, persiapan yang amat ketat harus ditempuhi sebelum berangkat ke Jepun.

Menurut Irfan, Astro menghantar seramai 20 wakil media termasuk wartawan dan jurugambar.

“Kesemua wakil media sudah pun disuntik dua dos vaksin, namun pihak Jepun meminta kami untuk membuat ujian ‘swab test’ empat hari berturut-turut sebelum berlepas ke sana.

“Nak ke Jepun, mereka mahukan sijil pengesahan 96 jam dan 48 negatif Covid-19. Malah, sebaik tiba di sana juga kami semua perlu menjalani aliva antigen test yang dikendalikan oleh pihak Jepun,” katanya.

Ditanya sekiranya timbul kebimbangan untuk membuat liputan ketika tempoh pandemik, Irfan menjelaskan petugas media perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Biarpun sudah melakukan persiapan sebaik mungkin, namun risiko itu masih ada.

“Risau, takut pasti ada, namun kita kena terus berjaga-jaga. Mungkin akan rasa ‘restricted’ sikit, tapi nak tak nak, kita kena lalui juga sebab kita perlu buat melaporkan maklumat terkini untuk rakyat Malaysia.

“Doakan terbaik untuk seluruh wakil media Malaysia,” katanya.

Tambah Irfan, diharapkan dengan semangat daripada semua, kita boleh melihat pingat emas pertama Malaysia terbutir di temasya Olimpik.

“Sesiapa saja wakil media membuat liputan di sini pastinya mengharapkan yang terbaik untuk atlet negara yang bertanding.

“Kami berdoa dan mengharapkan pingat emas pertama Malaysia dalam Olimpik.

“Tak kira siapa, sukan apa, kita nak tengok satu gold medal. Insya-Allah mudah-mudahan.

“Saya juga harapkan laporan Olimpik yang dibawa Astro Arena boleh menyatukan seluruh rakyat Malaysia.

“Mungkin boleh bagi satu ‘distraction’ ketika pandemik ini,” katanya yang bakal muncul dalam segmen Ganbatte Malaysia di YouTube Astro Arena.

Berkonsepkan live streaming, peminat sukan boleh saksikan laporan menarik Olimpik Tokyo di YouTube tersebut pada jam 3 petang hingga 9 malam untuk 23 Julai dan 8 Ogos.

Bagi 24 Julai Hingga 7 Ogos pula, segmen tersebut bersiaran jam 12 tengah hari hingga 6 petang.

Sekadar info, pelanggan Astro Sports Pack dapat menikmati liputan langsung Tokyo 2020 melalui 13 saluran yang terdiri daripada 10 saluran HD di Astro dan 3 saluran tambahan di Astro GO. Sementara satu saluran 4K HDR untuk pelanggan Ultra Box

Semua pelanggan Astro boleh mendapat liputan terbaik mengenai perkembangan wira sukan negara di Tokyo 2020 di Astro Arena HD (Ch 801).

Pelanggan NJOI yang membeli Sports Pass 2021 atau Pek HD akan mendapat akses menyaksikan Olimpik Tokyo 2020 melalui 10 saluran HD.

NJOI Pek HD juga akan membawakan Astro Arena dalam HD, sementara pelanggan NJOI sebelum 28 Apr 2021 hanya mempunyai akses Astro Arena di SD.

Ayuh semarakan semangat perjuangan kontinjen negara dengan kempen hashtag #SokongMalaysia #GanbatteMalaysia