Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Doktor Kata Saya Bila-Bila Masa Sahaja Boleh Pergi" - Pian Cecupak Mohon Maaf Pada Semua

Rozaimi Zubaidi
02/11/2018 05:15 MYT
Pelakon dan pelawak Pian Cecupak mengakui perlu menjalani rawatan jantung dengan segera dan memerlukan bantuan kewangan sebanyak RM35,000.

Menurut Pian, doktor menasihatinya supaya segera melakukan pembedahan kerana masalah tekanan jantung yang dihadapinya amat serius.

"Doktor kata saya bila-bila masa sahaja boleh pergi dan dia minta untuk segera melakukan pembedahan.

"Saya tidak tahu apa yang akan terjadi selepas ini dan saya memohon bantuan daripada orang ramai supaya dapat membantu meringgankan kos rawatan yang akan dilakukan tidak lama lagi.

"Saya minta agar semua dapat mendoakan kesihatan saya agar kembali pulih sepenuhnya selepas mendapatkan rawatan.

"Kalau saya ada melakukan apa-apa kesalahan sebelum ini saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan daripada semua pihak," katanya kepada Gempak.

Pian berkata demikian ketika ditemui pada sidang media majlis amal makan malam untuk mengutip derma bagi rawatan jantung Pian, di Restoran Tanjung Puteri, Sri Hartamas, pada Khamis.

Pian yang dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) seawal 3 pagi, 17 Oktober lalu kerana sesak nafas berkata, atas nasihat doktor, secepat mungkin beliau perlu membuat rawatan angiogram yang kos perubatannya ialah RM5,000.

Majlis amal makan malam untuk mengutip derma bagi rawatan jantung Pian akan diadakan di Dewan Lembaga Getah Asli Malaysia, KLCC pada 15 Disember depan.
#pelakon #Pelawak #Pelakon #Pian Cecupak
;