Berita
Doktor Kelahiran Malaysia Ini Dianggap Hero, Selamatkan Australia Selatan Daripada Gelombang Kedua Covid-19
Seorang doktor kelahiran Malaysia, Dr. Dharminy Thurairatnam dianggap hero di Australia Selatan atas tindakan pantasnya mengesan seorang pesakit yang dirawatnya dijangkiti virus Covid-19 biarpun tidak menunjukkan simptom yang jelas.
Kebijaksanaannya itu secara tidak langsung berjaya mengekang berlakunya gelombang kedua penularan Covid-19 di Australia Selatan memandangkan wilayah tersebut sudah tidak merekodkan sebarang kes baharu lebih tujuh bulan lamanya.
Menurut Dr. Dharminy yang bertugas di Hospital Lyell McEwin, Adelaide, kejadian berlaku pada 13 November lalu ketika dia merawat seorang wanita warga emas yang mengalami masalah pernafasan.
"Saya percaya yang dia sedang mengalami sesuatu masalah, tetapi bukan Covid. Banyak perkara lain yang berpotensi menyebabkan dia berada dalam keadaan seperti itu (sukar bernafas)," katanya seperti yang dilaporkan portal news.com.au.
Bagaimanapun, wanita berkenaan kemudian batuk sebelum dia bertindak melakukan ujian pengesanan virus Covid-19.
Ternyata, keputusan ujian warga emas tersebut menunjukkan keputusan positif sebelum pelan tindakan kesihatan awam dilakukan termasuklah melakukan perintah berkurung di seluruh negeri .
Bahkan, lebih 4,000 kontak rapat termasuk lebih 100 individu di jabatan kecemasan hospital berkenaan diasingkan termasuk dirinya sendiri.
"Ia satu pengalaman yang menakutkan. Saya berasa takut kerana tidak tahu sama ada yang saya sendiri sudah dijangkiti.
"Bagaimanapun, apapun, kita perlu yakin dan sentiasa positif bahawa semuanya akan baik-baik sahaja," katanya yang perlu menjalani kuarantin selama 14 hari yang berakhir minggu ini.
Begitupun, keputusan ujian Covid-19 yang dilalukan sebanyak dua kali, Dr. Dharminy disahkan negatif biaprun mengalami masalah sakit tekak dan selesema.
Tindakan pantas Dr. Dharminy menerima pujian daripada pelbagai pihak di Australia Selatan yang menyifatkan dirinya sebagai seorang doktor muda yang berjaya mengesan kes pertama jangkitan dalam komuniti.
Antaranya, Presiden Persatuan Perubatan Australia, Australia Selatan, Chris Moy yang turut menzahirkan pujian kepada Dr. Dharminy atas tindakan pantasnya dalam mengesan kehadiran virus berkenaan biarpun pesakit hadir dengan simptom yang tidak menjurus kepada jangkitan Covid-19.
Begitupun, Dr. Dharminy menyifatkan apa yang dilakukan itu hanyalah sebagai salah satu tanggungjawab sebagai seorang pengamal perubatan.
Dr. Dharminy yang berhijrah ke Adelaide sejak penghujung tahun lalu demi menyambung kariernya dalam bidang perubatan sudah tidak bertemu suami dan dua anaknya, sejak Mac berikutan koronavirus.
Sebelum berkhidmat di hospital tersebut, Dr. Dharminy pernah bertugas sebagai doktor di Singapura.
"Saya kematian bapa ketika berumur empat tahun, hajat terakhirnya mahu saya menjadi doktor.
"Ibu yang besarkan saya dan memastikan saya memenuhi impian bapa saya. Jadi, di sinilah saya bekerja sebagai doktor dan gembira dengan apa yang saya lakukan," katanya.
Sumber: news.com.au
Must-Watch Video