Kumpulan wanita baharu, Dolla mula mendapat perhatian kerana persembahan mereka yang hebat dan bertenaga di Final #RapStarERA 2020.

DOLLA terdiri daripada empat gadis cantik yang berbakat besar iaitu Sabronzo, Tabby, Syasya, dan Angel.

Memiliki bakat menyanyi dan menari yang mengagumkan, DOLLA bakal memeriahkan industri muzik tempatan dengan single pertama mereka 'Make You Wanna' yang dihasilkan oleh komposer dan produser lagu yang terkenal dari Australia, Bryan B.

‘Make You Wanna’ merupakan hasil gubahan Zamaera, Bryan B, Shou Raion dan Luca Sickta adalah sebuah lagu dengan unsur nakal dan seksi tentang keyakinan diri dan kekuatan seorang wanita.

Mesej yang ingin disampaikan adalah bagaimana keyakinan diri dan keberanian seorang wanita dalam membuktikan bahawa setiap manusia itu berharga dan berhak untuk dihormati.

Dengan melancarkan lagu yang rancak dengan melodi yang menarik ini, DOLLA berharap dapat mengenengahkan diri mereka sebagai kumpulan wanita generasi baru yang bakal mengegar industri muzik Malaysia.

“Kami mahu menghala perhatian kepada kepentingan merasa yakin dan selesa dengan diri sendiri. Wanita yang berkeyakinan tinggi akan lebih menyerlah dan menarik perhatian ramai pihak,” ujar Syasya.

Tambah Sabrina pula, lagu ini mampu memikat hati pendengar kerana rentaknya yang rancak.

“Saya gembira kerana lagu ini menonjolkan kekuatan wanita. Bukan saja sesuai dimainkan di radio tapi ‘Make You Wanna’ membuat kita terasa ingin menari. Orang yang tidak suka menari pun akan menari bila mendengar lagu ini,” jelasnya.


‘Make You Wanna’ terbitan dan edaran oleh Universal Music Malaysia dan Lion Music Group Malaysia boleh didengaridi semua platform pengstriman termasuk Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan Apple Music.