Pelakon Azri Iskandar menegaskan wanita misteri yang dikenalinya Dr. Azra memang wujud, namun masih belum bersedia untuk tampil di khalayak.

Namun, wanita berkenaan bakal membuat kemunculan apabila bersetuju untuk membintangi sebuah filem dengan bayaran RM500,000.

"Bulan Disember ni dia akan mula berlakon dan sedang berlatih Muay Thai untuk filem itu. Korang boleh tengok dia masa pelancaran nanti.

"Dia merupakan panel skrip dan berlakon. Dia pandai bawa superbike sebab itu dapat tawaran itu.

"Dia akan dibayar dengan harga RM500,000. Pada mulanya dia tolak sebab tak nak berlakon, tapi produksi mampu bayar. Jadi, dia tengah pucatlah tu. Sekarang dia tengah berlatih dan badan susut sikit," ujarnya ketika ditemui pada tayangan perdana filem Kutukan Sembilan Setan di Petaling Jaya baru-baru ini.

Jelasnya, biarpun sudah setahun tidak berjumpa, Azri yakin dengan Dr. Azra.

"Dia bukan tak nak jumpa tapi sibuk dan kena outstation jauh-jauh sampai ke Sepang dan Perak untuk projek dokumentari.

"Untuk ke fasa seterusnya tengok keadaan dulu macam mana, saya nak betulkan keadaan. Pastikan dulu hubungan kami berdua betul-betul okey," jelasnya.

Azri dan pelakon Ellie Suriati bercerai talak satu pada 17 Mei 2022.

Beberapa minggu selepas bercerai, Azri mengesahkan dia dan kekasih yang dikenali sebagai Dr. Azra sudah mengikat tali pertunangan pada 29 Jun tahun lalu bertempat di Kangar, Perlis.

Bagaimanapun, menurut Azri, majlis perkahwinan terpaksa ditunda kerana duit yang dikumpul masih belum mencukupi.

Azri dan Elly dikurniakan dua cahaya mata iaitu Azrell Omar, 18, dan Nur Azreen, 14.

Azri juga menerusi perkahwinan pertama mempunyai tiga anak iaitu Muhammad Afiq Iskandar, 31, Farah Qistana, 29, dan Nur Anis Mastura, 27.