Angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor baru-baru ini berkongsi berita gembira apabila anak saudaranya, Sheikh Aiman Shukor Al Masrie berjaya melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang.

Menurut Dr Sheikh Muszaphar, Aiman merupakan anak arwah adiknya. Ketika arwah meninggal dunia, beliau sedang dalam misinya di angkasa lepas dan Aiman baru berusia tiga tahun.

Sejak dari itu, beliau menggalas tanggungjawab untuk menjaga Aiman seiring dengan permintaan arwah adiknya. Sebagai penjaga yang sah, Sheikh Muszaphar bersyukur dapat melihat setiap kejayaan yang diraih oleh Aiman.

Tambah Sheikh Muszaphar yang berkongsi kisah di laman Instagramnya, Aiman seorang pelajar yang pintar dan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Oleh itu, Aiman telah menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.

Namun, anak saudaranya itu memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang undang-undang. Walau apa jua keputusan yang dibuat, Sheikh Muszaphar berkata dia sentiasa berdoa dan memberi sokongan buat Aiman.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata warganet memberi pujian buat Dr Sheikh Muszaphar kerana berjaya mendidik dan menjaga Aiman dengan baik.

Tambah warganet, kasih sayang yang diberikan oleh Sheikh Muszaphar kepada Aiman sama seperti kasih sayang yang diberikan kepada anak-anaknya sendiri.

Sumber & foto: Keluarga