Penerbit dan penulis novel Rindu Awak Separuh Nyawa, Siti Rosmizah Semail meletakkan jangkaan drama terbaharunya itu akan turut mendapat sambutan luar biasa.

Kata Siti Rosmizah, drama Rindu Awak Separuh Nyawa lakonan Uqasha Senrose dan Shukri Yahaya itu punyai peminat fanatik sendiri.

"Saya sentiasa meletakkan target yang tinggi untuk setiap drama terbitan SR One Sdn Bhd terutama yang melibatkan karya saya sebab saya melihat pada jualan novel yang tinggi mencecah ratusan ribu dan peminat-peminat fanatik novel saya setakat ini sentiasa akan sokong hasil kerja saya.

"Tetapi dengan syarat kena beri yang terbaik. Bagi drama Rindu Awak Separuh Nyawa semestinya saya akan letak target yang lagi tinggi dari drama saya sebelum ini. Aim for the stars you will reach the sky," katanya.

Dalam pada itu, Siti Rosmizah akui Uqasha dan Shukri punyai chemistry yang baik sebagai tunjang utama dramanya.

"Ini merupakan gandingan mereka berdua buat pertama kali dan apa yang saya lihat mereka ada chemistry yang cukup bagus.

"Saya yakin gandingan ini antara penyumbang pada rating RASN kerana kedua-duanya memberikan komitment yang baik. Ditambah dengan bakat mereka yang hebat," ujarnya.

Melalui Rindu Awak Separuh Nyawa, Siti Rosmizah memaparkan kisah hidup yang berlaku apabila kekayaan menjadikan manusia angkuh dan sombong.

Drama ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’ bakal menemui penonton pada setiap hari Isnin hingga
Khamis, jam 10.00 malam mulai 23 Mac 2021 menerusi slot Megadrama secara secara
eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).

Ia juga boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.