Banyak persiapan yang harus dilakukan oleh pelakon Syafiq Kyle apabila dia terlibat dalam sebuah naskah teater.

Menurut Syafiq, dia perlu memberi sepenuh tumpuan untuk membuatkan penonton dapat merasakan apa yang cuba disampaikan.

"Saya rasa perbezaan antara drama dengan teater adalah mempunyai bakat yang berlainan.

"Mungkin kita tahu itu adalah lakonan tetapi untuk melakukan persiapan juga agak berbeza.

"Untuk drama kita boleh bermain dengan diri kita sendiri. Banyak 'shot' yang boleh diambil untuk menampakkan hasil lakonan kita.

"Namun kalau untuk teater jika kita tidak melakukan sebaik mungkin, memang akan terus kelihatan. Itu tidak boleh ditipu.

"Dalam teater tidak wujud istilah 'editing' untuk menampakkan kejujuran.

"Apa yang boleh menggantikannya adalah dengan aktiviti membaca skrip bersama pelakon lain dan latihan setiap hari," katanya kepada Gempak.

Pemilik nama sebenar Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak ini juga perlu bersedia dengan mental yang kuat.

"Dari segi lain pula, teater menggunakan mental yang kuat. Persembahan akan berlangsung selama 10 hari.

"Jadi kesihatan sangat perlu dijaga memandangkan saya perlu memberi komitmen tanpa pengecualian ataupun tangguhan.

"Kalau dalam drama, ada aksi yang tak mampu dilakukan boleh minta pihak produksi untuk menangguhkannya," tambahnya lagi.

Kini, Syafiq sedang terlibat dengan pementasan teater Pawana Isabella yang bermula 21 hingga 31 Ogos di Istana Budaya.

Teater Pawana Isabella arahan Erma Fatima itu turut dibintangi Janna Nick, Azar Azmi, Johan Raja Lawak, Ozlynn dan Datuk Afdlin Shauki.