Pelakon dan penyanyi, Afieq Shazwan menafikan dakwaan hubungannya dengan rakan artis Wani Kayrie semakin renggang.

Malah kata Afieq, pada Mac lalu dia ada meraikan ulang tahun kelahiran bintang asal Sabah itu serta memberikan hadiah yang diidamkan Wani.

“Mana ada kami bergaduh. Kami masih berkawan walaupun sejak kebelakangan ini hanya berhubung menerusi media sosial.

“Dia pun sedang sibuk dengan kerjaya tambah-tambah lagi selepas kembali aktif berlakon. Saya pun ada komitmen sendiri.

“Kalau bergaduh takkanlah saya berikan ucapan selamat hari lahir kepada Wani dan beri dia hadiah yang sudah lama dia idam-idamkan,” katanya.

Menurut Afieq masih terlalu awal baginya untuk mengulas mengenai dakwaan kononnya mereka sedang menjalin hubungan cinta.

Katanya lagi mereka hanya berkawan rapat dan bebas untuk berkawan dengan sesiapa saja ketika ini.

"Masih terlalu awal untuk bercakap mengenai perkara itu. Saya pun tak tahu nak cakap bagaimana... Senang cerita kami ni sama sahaja, suka main tarik tali. Cuma, biasalah perempuan akan jual mahal.

"Kami berkawan, kalau nak dikatakan kami ni 'teman tapi mesra', mungkin ya. Malah, kami juga dikelilingi rakan-rakan yang sama.

"Tak ada masalah untuk saya dan Wani berkawan dengan sesiapa sahaja," katanya.

Dalam pada itu Afieq turut mengucapkan terima kasih kepada para peminat yang menyokong hubungan baiknya dengan Wani.

“Saya menghormati semua yang sokong hubungan kami. Terima kasih. Tapi kalau ada yang tak suka pun saya terima sahaja sebab masing-masing ada pandangan tersendiri kan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa FMC bersama media di Hotel EQ, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

Hubungan akrab Afieq dan Wani mula menjadi perbualan peminat ketika mereka sama-sama menyertai program Big Stage musim pertama, tiga tahun lalu.