Terbabit dalam rancangan realiti adaptasi dari Korea Selatan, Real Men Malaysia: Wira Merah, pengacara MeleTOP, Hawa Rizwana mendedahkan mengalami kecederaan pada bahagian siku ketika melaksanakan tugasan.Kata Hawa, 27, ketika melakukan halangan dan rintangan sepertimana latihan sebenar dalam Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia.“Sepanjang 22 hari di sana, saya mengenali sendiri macam mana. Kita tahu kekuatan, kelemahan diri. Apa yang saya sedar adalah, saya seorang yang very competitive," katanya kepada Gempak.

Mengulas mengenai kecederaan tersebut, Hawa berkongsi gambar sikunya yang terluka ketika melalui cabaran merangkak bagi dua hari berturut-turut tetapi dia menganggap insiden itu sebagai satu kepuasan memandangkan sudah melakukan yang terbaik.“Tapi pelik jugalah kawan-kawan lain buat challenge sama tapi tak adalah luka dan kulit terkeluar macam tu.“Ketika Facetime dengan ibu, hujung-hujung tu bagitahu dah nak kena gerak, pastu tunjuk tangan. Then ibu tanya kenapa? Hawa terus cakap okay bye!” tambahnya.Bagaimanapun, Hawa bersyukur pembabitannya dalam Real Men Malaysia: Wira Merah mendapat sokongan daripada kedua-dua ibu bapanya walau pada mulanya bimbang akan reaksi keluarga."Sejujurnya membesar, my parents tak bagi buat apa-apa sukan sekalipun. Pernah dapat wakil sekolah untuk bola jaring ketika sekolah rendah, dia tak bagi" ujarnya.

A post shared by HAWA RIZWANA REDZUAN (@hawarizwana)


Tambah Hawa lagi, pengalaman dalam rancangan ini membuatkannya lebih menghargai tugas bomba yang bukan hanya memadamkan kebakaran bahkan merangkumi pelbagai tugasan sukar dan mencabar yang melibatkan nyawa serta keselamatan.Untuk info, antara selebriti lain yang turut terbabit dalam rancangan realiti ini adalah atlet negara speed climbing Mat Redho, pempengaruh media sosial Arieff Yong, pelawak Shashic, model Eric Lay, hos Daniel Cheang serta pelakon Wafiy dan Jasmine Suraya.Penggambaran rancangan ini dilakukan sepenuhnya di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai, Terengganu untuk menunjukkan kehidupan sebenar ahli bomba dan penyelamat Malaysia menerusi paparan barisan selebriti yang dipilih.
Setiap episod akan menunjukkan realiti emosi dan cabaran yang perlu diharungi oleh pasukan bomba Malaysia termasuk tatacara memakai pakaian operasi, membentang dan menggulung hos, teknik penyelamatan di bangunan yang runtuh, teknik pemadaman kebakaran dan selainnya.Real Men Malaysia: Wira Merah akan ditayangkan pada setiap hari Ahad bermula 30 Julai, jam 9.00 malam secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104). Ia turut boleh distrim melalui platform On Demand menerusi Astro Box dan aplikasi Astro GO.